Keadaan bas yang terjatuh ke gaung di Antique, Filipina. Foto Xinhua

MANILA – Sekurang-kurangnya 16 orang penumpang bas terbunuh selepas kenderaan yang dinaiki terhempas dari tebing di wilayah tengah Antique, semalam.

Bas berkenaan dikatakan mengalami masalah brek ketika kejadian.

Lapan orang berada dalam keadaan kritikal di hospital manakala empat lagi stabil, kata Gabenor Antik Rhodora Cadiao kepada stesen radio DZRH.

Jumlah kematian yang disahkan adalah lebih rendah daripada 28 yang dilaporkan media tempatan sebelum ini.

Bas penumpang dari wilayah Iloilo itu dalam perjalanan ke bandar Culasi di Antique pada petang Selasa apabila breknya tidak berfungsi di laluan berliku lalu terjunam ke bawah 30 meter (98.5 kaki) ke dalam gaung, kata Cadiao.

“Kami memanggil kawasan itu sebagai ‘lengkung pembunuh’. Ia sudah menjadi bas kedua yang terjatuh di sana,” tambah Cadiao.

Menurutnya, bas itu jatuh ke dalam gaung di bahagian lebuh raya yang tidak mempunyai penghadang konkrit.

Operasi menyelamat telah dihentikan selepas semua mayat yang kelihatan di lokasi nahas dibawa keluar.

Ketika kejadian, bas berkenaan dipercayai membawa kira-kira 53 orang penumpang. – Agensi