Tentera penceroboh Israel yang menjalankan operasi di Gaza.

Oleh: Muhammad Fauzi Asmun

GENCATAN senjata baru berakhir dengan serangan baru Israel terhadap Gaza pada 1 Disember lepas. Bermulalah episod kedua peperangan Israel – Palestin yang tidak tahu akan berakhir dengan apa pula.

Dalam peperangan yang berlangsung dari 7 Oktober hingga gencatan senjata pada 24 November, Israel ternyata kalah dari segala sudut.

Dari sudut ketenteraan ternyata serangan Israel sepanjang tempoh perang tersebut tidak berjaya menyasarkan kem tentera sebaliknya hanya serangan membabi buta ke arah rakyat. Tentera Israel dan Amerika juga ramai terkorban.

Dari segi media, ternyata segala propaganda Israel menemui kegagalan. Bahkan Israel tidak berani menemuramah tawanan perang Israel yang dibebaskan kerana ia akan memakan diri. Dari negara yang asalnya hidup dengan propaganda, Israel telah bertukar menjadi negara yang melarikan diri dari media.

Dari segi ekonomi juga sedang jatuh teruk. Kos perang begitu tinggi. Belum masuk lagi kos menenangkan rakyatnya yang sedang ketakutan dan hilang keyakinan terhadap kerajaan. Tambah buruk jika kita masukkan sekali kesan langsung dan tidak langsung pergerakan ekonomi yang mati akibat perang.

Bahkan syarat gencatan senjata yang berlangsung selama seminggu itu juga menunjukkan Israel berada di pihak yang kalah.

Israel terpaksa bersetuju dengan nisbah pertukaran tawanan tiga warga Palestin dengan hanya satu warga Israel.

Menghadkan ruang udara gaza, kapal perang Israel tak boleh lalu pada waktu tertentu.

Israel terpaksa bersetuju agar laluan di Gaza boleh dilalui dari segala arah sedangkan sebelumnya hanya dibenarkan dari arah utara ke selatan sahaja.

Israel juga terpaksa bersetuju agar bilangan konvoi bantuan ditingkatkan ke 200 kontena termasuk dibenarkan kemasukan gas dan minyak. Mereka menghadkan bilangan kontena sebelum ini dan tidak membenarkan langsung kemasukan gas dan minyak.

Jika Israel sudah kalah dalam fasa pertama peperangan, kenapa mereka yang memulakan serangan selepas habis tempoh gencatan senjata dan menolak lanjutan gencatan senjata? Adakah itu menunjukkan bahawa mereka sudah berjaya membina kembali kekuatan mereka?

Di sini saya kongsikan beberapa bacaan yang menunjukkan Israel sebenarnya sudah tidak tahu apa nak buat dalam perang kali ini.

i. Pertukaran tawanan perang dalam gencatan senjata lepas hanya melibatkan orang awam, bukan pertukaran tentera. Pertukaran tentera sudah tentunya nisbahnya bukan 1 Israel 3 Palestin. Pertukaran tawanan tentera Israel Gilad Shalit disusuli dengan pembebasan 1,27 tahanan warga Palestin oleh Israel. Israel tidak akan buat demikian lagi sekali kerana ia akan menimbulkan kemarahan rakyat dan tentera. Pilihan yang ada hanyalah perang lagi sekali untuk menang besar. Tapi ini keputusan yang terpaksa dibuat dengan penuh kesukaran.

ii. Ada empat tentera wanita yang berada di dalam kumpulan tawanan perang di tangan Palestin. Israel mahu ia dibebaskan dalam gencatan senjata lepas atas dakwaan kononnya mereka adalah orang awam. Tetapi mujahidin Palestin tidak membebaskannya. Kemungkinan serangan selepas gencatan senjata ini berpunca dari marah tersebut. Juga keputusan yang tidak matang dibuat oleh Israel.

iii. Perang baru ini banyak di tumpukan di sebelah selatan Gaza. Ia seolah-olah untuk menunjukkan bahawa Israel sudah berjaya di utara Gaza dalam perang di fasa pertama. Tapi itu semua adalah propaganda kerana sebenarnya ketika serangan di selatan Gaza dimulakan, Israel menarik balik 70% kekuatan tenteranya dari utara Gaza kerana mereka tidak berjaya pun mengosongkan utara Gaza. Masih ada hampir 1 juta penduduk di utara jika menurut satu sumber yang saya tanya. Maknanya serangan kali ini tidak ada strategi yang masak, hanya sekadar propaganda untuk menunjukkan mereka menang.

Kemenangan umat Islam dan kehancuran Israel adalah petunjuk pasti dari hadis Nabi SAW. Ditambah dengan fakta yang kita boleh lihat depan mata sekarang. Jangan ragu-ragu untuk terus bersama pihak yang menang.

Wallahu a’lam

Penulis adalah Pengerusi Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP)

 

1 Komen

  1. we will see. bukan perang agama, ne perang perebutan wilayah. so bukan kemenangan Islam. Palestin juga bukan 100% penduduk di sana muslim.

Comments are closed.