Raven (dua dari kiri ) menyempurnakan Majlis Penyerahan Kerusi Kitar Semula di Kota Iskandar.

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri Johor menyifatkan hukuman yang dikenakan terhadap pesalah pencemaran Sungai Kim Kim pada 2019 tidak setimpal dan selayaknya dikenakan denda lebih tinggi termasuk hukuman penjara.

Exco Alam Sekitar Warisan dan Budaya negeri, K Raven Kumar berkata, hukuman sedia ada terlalu ringan memandangkan insiden di Pasir Gudang itu telah menjejaskan kesihatan orang ramai dengan jumlah yang besar.

“Seperti semua maklum, kita (kerajaan negeri) dan Persekutuan telah pun mengeluarkan belanja yang banyak, tetapi apabila hukuman dikenakan dilihat tidak berbaloi sama sekali dan amat mengecewakan.

“Tetapi kita tidak menyalahkan mahkamah, sebaliknya apa yang boleh dilakukan perlu lihat semula akta dan denda ditetapkan.

“Disebabkan itu, hukuman perlu ditingkatkan terutama melibatkan kes seumpama ini, jumlah denda boleh dinaikkan sehingga RM5 juta atau RM10 juta,” katanya selepas majlis Penyerahan Kerusi Kitar Semula di Kota Iskandar, hari ini.

Jelas Raven, kerajaan negeri juga akan membantu memudahkan urusan saman kepada pelaku sekiranya ia dibuat berlandaskan undang-undang.

Pada Mac 2019, insiden pencemaran Sungai Kim Kim itu telah menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam dengan sembilan daripadanya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail.

Insiden itu juga menyebabkan 111 buah sekolah di Pasir Gudang ditutup. – MalaysiaGazette