Fadhlina Sidek

PUTRAJAYA – Pendidikan karakter, penekanan literasi dan numerasi serta kelas pembelajaran bersepadu merupakan tiga pendekatan baharu yang akan diperkenalkan dalam kurikulum persekolahan 2027.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kurikulum persekolahan 2027 akan dilaksanakan secara berperingkat iaitu bermula dengan Tahun 1 dan Tingkatan 1 pada 2027, manakala bagi murid prasekolah akan diperkenalkan pada 2026.

Menurutnya, reka bentuk kurikulum 2027 bakal menggabungkan kurikulum berasaskan standard dan kurikulum berorientasikan kompetensi yang menggalakkan pembelajaran aktif murid, menyediakan pengalaman pembelajaran dan penilaian yang lebih autentik serta bermakna.

“Ada beberapa perkara penting yang ingin ditegaskan khususnya bagaimana kurikulum persekolahan 2027 akan dipacu mulai hari ini. Pertama, pastilah berdasarkan kaji selidik awal yang telah dilaksanakan bersama responden-responden yang menyatakan hasrat dan aspirasi mereka ingin melihat kurikulum 2027 akan datang itu benar-benar mencapai maksud.

“Dalam konteks anak-anak pula, ia diperkukuhkan dari segi pendekatan pendidikan karakter dan juga elemen-elemen yang berkait rapat dengan kemahiran,” katanya pada sidang media selepas program Bicara Profesional Kementerian Pendidikan (KPM) Kurikulum Persekolahan 2027, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, menerusi ucapannya, Fadhlina berkata, pembentukan karakter yang dihasratkan adalah berteraskan prinsip Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk membentuk individu yang dapat menyumbang kepada pembentukan negara melalui kurikulum yang terancang dan berstruktur.

Jelas beliau, pendidikan karakter itu memberi penekanan kepada pembangunan diri murid yang berdaya tahan, tangkas, memiliki kesedaran sivik yang tinggi dan mentaliti pertumbuhan.

“Kita memilih pendekatan yang lebih segar, pendidikan karakter ini akan dilaksanakan sebagai satu slot masa yang khusus dan berfokuskan kepada pembelajaran sosioemosi secara amali bermula dari prasekolah sehingga ke peringkat menengah atas.

“Malah, untuk memberikan makna kepada kehidupan sebagai warganegara yang bertanggungjawab, pendidikan karakter juga akan diterapkan dalam konteks pembinaan karakter bangsa Malaysia,” ujarnya.

Selain itu, katanya, KPM komited dalam memastikan murid menguasai literasi asas membaca, menulis dan mengira (3M) seawal mungkin bagi membolehkan mereka bersedia mengikuti pembelajaran pada tahap seterusnya.

“Intervensi awal akan diberikan bagi membantu murid yang menghadapi masalah menguasai kemahiran literasi dan numerasi sebelum murid berpindah ke Tahap 2 dan Tahap 3,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, satu slot khusus akan diperuntukan bagi Kelas Pembelajaran Bersepadu yang akan diperkenalkan bermula di sekolah rendah dengan menggabungkan isi kandungan dan kemahiran dari pelbagai disiplin ilmu.

“Murid akan belajar mengaplikasi pengetahuan, kemahiran dan nilai  dalam satu pengalaman  pembelajaran yang holistik, bermakna, relevan dan berhubung kait dengan dunia sebenar.

“Maka, pentaksiran akan dilaksanakan secara berterusan sebagai sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Slot pembelajaran ini akan dimasukkan dalam jadual waktu bagi membolehkan pelaksanaan yang lebih terstruktur dan lebih berkesan,” katanya.

Mengenai pentaksiran, Fadhlina berkata, kurikulum 2027 akan memperkasa pelaksanaan pentaksiran bilik darjah yang bertujuan untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid dan bagaimana pengajaran dan pembelajaran diubah suai bagi meningkatkan tahap penguasaan murid.

“Guru akan menilai proses pembelajaran yang dilalui oleh murid secara holistik bagi membantu murid meningkatkan keupayaan dan potensi mereka dalam tugasan yang diberi.

“Tumpuan tidak lagi diberikan kepada hasil tugasan semata. Dengan cara ini, proses pengajaran dan pembelajaran akan lebih fleksibel, menyeronokkan dan bermakna bagi guru dan murid,” tambahnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi memudahkan guru memberi fokus pembelajaran sejajar dengan kematangan usia murid, tahap persekolahan dan fokus kurikulum turut disusun semula.

Jelasnya, pendidikan rendah akan dibahagikan kepada tiga tahap iaitu Tahap 1 membabitkan murid Tahun 1 dan Tahun 2, Tahap 2 (Tahun 3 dan Tahun 4) dan Tahap 3 (Tahun 5 dan Tahun 6).

“Elemen-elemen dalam kurikulum baharu ini akan dibincangkan, dibahaskan, diperincikan, dan diulaskan secara tuntas melalui Program Jelajah Pendidikan Masa Hadapan dan sesi libat urus yang bersasar dalam masa terdekat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast