Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff

KUANTAN – Kerajaan negeri kini dalam proses pemerolehan lot-lot tanah yang diperlukan bagi projek pemanjangan landasan Lapangan Terbang Pulai Tioman.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, Pejabat Daerah dan Tanah Rompin telah mendapatkan nilaian tanah daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta.

“Kerajaan negeri sedang dalam proses pelaksanaan cadangan alternatif bagi menaik taraf Lapangan Terbang Pulau Tioman dengan pemanjangan landasan sedia ada daripada 850 meter kepada 1,300 meter.

“Ini bagi membolehkan pendaratan pesawat jenis ATR42-600 dan pesawat jenis ATR72-600,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Seri Mohd Johari Hussain (BN- Tioman) pada Sesi Soal Jawab Lisan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Johari bertanya mengenai status projek Lapangan Terbang itu selain status pembinaan atau baik pulih jeti kargo di Marina Kampung Tekek, Pulau Tioman.

Sementara itu, ditanya jika Lapangan Terbang tersebut bersedia menerima pesawat persendirian dan antarabangsa tanpa transit, Mohammad Fakhruddin memberitahu, kajian sedang dijalankan olen pihak perunding yang dilantik oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia.

Kajian tersebut bagi menentukan jarak pemanjangan, jenis kapal yang boleh digunakan dan syarikat penerbangan yang bersedia menjalankan perkhidmatan.

Dalam pada itu, Mohammad Fakhruddin juga berkata, Kerajaan Persekutuan melalui Belanjawan 2024 telah meluluskan peruntukan sebanyak RM47 juta bagi menaik taraf lapangan terbang tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast