GEORGE TOWN – Pengurus sebuah bank didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan memandu kereta BMW 5 Series secara melulu dan telah mengakibatkan berlaku pelanggaran ke atas kereta lain di susur keluar Jambatan Pulau Pinang pada 2 Oktober lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Teoh Mung Ni, 41, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibaca dihadapan Majistret Mohamad Azlan Basri.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kereta BMW dengan nombor pendaftaran VDF 8229 dengan cara melulu dan mendatangkan bahaya kepada orang ramai apabila jalan yang digunakan itu tidak sesuai serta banyak lalu lintas, selain telah mengakibatkan berlaku pelanggaran ke atas kereta Perodua Bezza yang bernombor PQQ 4091.
Wanita bujang itu didakwa melakukan perbuatan tersebut pada jam 12.30 tengah malam pada 2 Oktober lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan maksimum RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu sekurang-kurangnya dua tahun jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil manakala tertuduh diwakili peguam, K. Mahendran.
Ketika prosiding Syairah memohon mahkamah menetapkan jaminan RM8,000 namun Mahendran merayu agar jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya perlu menangnggung ibu serta bapa yang mempunyai sakit kronik dengan pendapatan bulanan RM5,000.
Mahendran turut meminta mahkamah mempertimbangkan kerjasama baik yang diberikan anak guamnya kepada pihak polis dalam ketika siasatan selain hadir sendiri ke mahkamah hari ini.
Mohamad Azlan kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Januari depan untuk sebutan semula kes.
Media pada 2 Oktober lalu melaporkan seorang lelaki berusia 22 tahun cedera selepas kenderaan dinaikinya dirempuh sebuah kereta dipandu secara melawan arus di susur keluar Jambatan Pulau Pinang menghala Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini.
Mangsa dikatakan dirempuh pemandu BMW 5 Series iaitu wanita berusia 41 tahun yang dikesan memandu secara melawan arus dari arah pusat bandar.
Pemandu wanita itu didapati bebas daripada pengambilan alkohol pada hari kejadian, berpandukan analisis ujian sampel alkohol yang dihantar kepada Jabatan Kimia. – MalaysiaGazette