WASHINGTON – Sudah tidak ada lagi tempat selamat di Semenanjung Gaza, termasuk kemudahan yang membawa bendera Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Mari kita jelaskan. Tiada zon selamat yang ditetapkan PBB di Gaza. Semua rakan sekerja saya sangat jelas, termasuk Setiausaha Agung (Antonio Guterres) mengatakan tiada tempat selamat di Gaza,” kata Stephane Dujarric kepada pemberita.
Kenyataannya dibuat sehari selepas jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) berkata, “Orang ramai harus pergi ke tapak yang ditetapkan PBB di mana yang terdapat dalam senarai Israel sebagai zon penyahkonflik yang tidak sepatutnya menjadi sasaran kempen ketenteraan”.
Dujarric berkata: “Terdapat tempat perlindungan yang kibarkan bendera PBB yang menjadi kawasan beribu-ribu lelaki, wanita, kanak-kanak yang cuba dimasuki mereka untuk mendapatkan makanan dan minuman.
“Kami telah meilihat sejak awal konflik bahawa kawasan-kawasan yang dikibarkan bendera PBB juga tidak selamat,”.
Ditanya mengenai kenyataan seorang jurucakap Israel yang mendakwa membunuh dua orang awam Palestin bagi setiap anggota Hamas di Gaza akan menjadi nisbah “sangat positif”, Dujarric berkata, PBB tidak dalam perniagaan untuk mewujudkan nisbah seperti itu.
“Fokus kami adalah mengelakkan sebarang kematian orang awam yang sejujurnya, tidak begitu berjaya,” tambahnya.
Sekurang-kurangnya 15,899 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 42,000 cedera sejak Israel melancarkan kempen ketenteraan besar-besaran di Semenanjung Gaza berikutan serangan rentas sempadan oleh Hamas, pada 7 Oktober, menurut pegawai kesihatan Gaza. – Agensi