Majlis penyerahan lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) di Menara TH Tun Razak, di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 25 syarikat pelancongan tempatan, termasuk anak syarikatnya Tabung Haji Travel & Services Sdn Bhd (THTS) diberikan lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) untuk Musim Haji 1445H/2024M.

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, pelantikan 25 PJH tersebut sebagai persediaan menghadapi Musim Haji 1445H yang dikendalikan TH setiap tahun.

Tahun ini, Kerajaan Arab Saudi meluluskan 31,600 kuota Jemaah Haji Malaysia, yang merupakan jumlah kuota penuh sepertimana yang diluluskan pada musim haji yang lalu.

Justeru, TH telah menyerahkan lesen PJH kepada syarikat yang benar-benar layak dan memenuhi syarat yang ditetapkan.

TH mengingatkan syarikat pelancongan Islam yang lain agar memberi komitmen penuh untuk bersama-sama membendung penipuan perkhidmatan pakej haji.

“Adalah menjadi satu kesalahan sekiranya syarikat pelancongan yang tidak mempunyai lesen PJH menawarkan pakej haji serta mengelola perkhidmatan haji kerana melanggar Seksyen 27, Akta Tabung Haji 1995, Akta 535,” katanya semasa majlis penyerahan lesen PJH di Menara TH Tun Razak, di Kuala Lumpur semalam.

Menurutnya, sama seperti tahun-tahun sebelum ini, TH sekali lagi mengingatkan mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa mendapat kelulusan daripada TH boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah akta tersebut.

“Sehubungan itu, bakal haji yang berhasrat menunaikan haji melalui PJH diminta untuk tidak menyerahkan sebarang wang deposit kepada syarikat sekiranya belum menerima surat tawaran menunaikan haji.

“Insya-Allah, surat tawaran menunaikan haji akan dikeluarkan sedikit masa lagi,” tambahnya lagi.

TH berharap orang ramai sentiasa mengambil langkah berhati-hati dan tidak mahu kes yang sama berlaku seperti tahun-tahun sebelum ini di mana ada jemaah haji terkandas akibat ditipu oleh syarikat tidak berlesen yang menawarkan perkhidmatan pakej haji.

Sebagai peringatan tambahan, rakyat Malaysia hendaklah patuh kepada peraturan Kerajaan Arab Saudi iaitu mengerjakan haji menggunakan visa haji dan tidak menggunakan visa pelancong yang salah dari sisi peraturan Arab Saudi demi menjaga keselamatan jemaah sepanjang tempoh berada di Tanah Suci.

Semua wakil PJH pada majlis tersebut telah diberi taklimat mengenai Terma dan Syarat Perkhidmatan Pakej Musim Haji 1445H/2024.

Senarai PJH yang menerima lesen ini boleh disemak di laman web rasmi TH
(http://www.tabunghaji.gov.my). – MalaysiaGazette