Liridon Krasniqi. Foto Facebook TFC.

KUALA LUMPUR – Pemain pinjaman Terengganu FC (TFC), Liridon Krasniqi akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas menyertai Liga Super 10 tahun berturut-turut itu sejak penghujung 2019.

Dalam satu hantaran Instagram story, Liridon Krasniqi yang juga merupakan pemain naturalisasi kedua negara telah mengungkapkan ucapan penghargaan kepada kepada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atau lebih dikenali dengan gelaran TMJ.

“Masa saya bersama JDT sudah pun berakhir. Terima kasih kepada @officialjohor (JDT) dan @hrhcrownprinceofjohor (TMJ) atas segalanya. Saya mengucapkan semoga berjaya pada masa depan,” tulisnya.

Sepanjang bersama JDT, Liridon hanya sempat beraksi dalam tiga perlawanan sahaja iaitu pada awal musim 2020.

Selepas itu, dia dipinjamkan ke beberapa kelab seperti Odisha FC di India, Newcastle Jets di Australia, Khon Kaen United di Thailand dan terkini, Terengganu FC.

Musim ini bersama Terengganu, gergasi pantai timur itu berminat untuk mendapatkan khidmat Liridon secara kekal.

Namun melalui satu laporan oleh Astro Arena, dia Liridon kini tidak lagi memegang status pemain pinjaman JDT dan dikatakan boleh beraksi di pentas akhir Piala Malaysia esok ini dengan menyarung jersi TFC. – MalaysiaGazette