KUALA LUMPUR – Pemimpin UMNO sedih apabila individu yang berpendidikan seperti guru dan penjawat awam berterusan menjadi mangsa scammer.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi berkata, seorang guru rugi sebanyak RM480,000 ditipu oleh individu yang mendakwa dari syarikat kurier selepas memberitahu mangsa ada bungkusan bahan terlarang.
“Skrip ejen ini standard. Mangsa ada bungkusan belum dituntut. Setelah diimbas, bungkusan itu ada dadah, pasport atau bahan terlarang. Lepas itu mangsa diugut sampai takut.
“Saya pernah terima panggilan dua kali. Ejen ini sebut nama penuh dan jawatan saya. Saya mainkan dia. Dia dakwa dalam bungkusan itu ada 12 pasport. Saya kata patut ada 60 pasport. Dia terus off telefon,” cerita beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Persoalannya, kata Puad, apakah yang boleh dibuat oleh Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi MultiMedia Malaysia.
“Apakah panggilan itu tidak boleh dikesan datang dari mana?
“Buat kempen kesedaran, jangan layan panggilan mengenai “bungkusan tidak dituntut”,” katanya. – MalaysiaGazette