Majlis ulang tahun ke-20 LCISB berlangsung baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Little Caliphs International Sdn. Bhd. (LCISB) melakar sejarah tersendiri apabila kini memiliki 40,000 pelajar selepas genap 20 tahun beroperasi di negara ini.

Ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Roslan Nordin berkata, sepanjang tempoh itu, syarikatnya mempunyai hampir 500 rangkaian tadika Little Caliphs (LC) dalam menyediakan pendidikan awal kanak-kanak.

Beliau berkata, apa yang membanggakan, LCISB juga telah berjaya menembusi pasaran Indonesia apabila telah membuka empat cawangan di sana, masing-masing dua di Jakarta dan Medan.

“Sepanjang tempoh 20 tahun, LC telah mengubah landskap pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia yang mana telah menjadi mercu tanda kepada harapan buat ibu-bapa dan pendidik.

“Ini kerana, kurikulum dan metodologi pengajaran yang digunakan oleh LC bukan sahaja inovatif dan terbukti berkesan malah turut diserapkan dengan nilai-nilai yang diajarkan oleh agama Islam.

“Ia selaras dengan misi kurikulum LC iaitu untuk menanam rasa cinta akan Islam dan ilmu pengetahuan kepada kanak-kanak sebagai persiapan awal untuk mereka menjadi hamba Allah, khalifah Allah dan mat Nabi Muhammad S.A.W yang soleh,” katanya pada majlis ulang tahun ke-20 LCISB, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, bagi mengembangkan operasi, Roslan berkata, syarikat merancang untuk menerokai negara Asia pada tahun depan dengan menjadikan India sebagai sasaran.

Tambahnya, LCISB mahu mengorak langkah lebih pada masa akan kerana visi syarikat untuk membuka rangkain tadika di Amerika Syarikat.

“Impian kami adalah untuk melihat nama LC bertebaran di seluruh dunia pada masa akan datang kerana ketika ini, rangkaian tadikanya telah memenuhi permintaan di semua lokasi di negara ini.

“Tahun-tahun prasekolah ini adalah penting dalam pembentukan minda dan akhlak kanak-kanak yang bakal memacu masa hadapan negara kita.

“LC sentiasa ke arah dalam mewujudkan persekitaran yang kondusif dan memupuk semangat ingin tahu serta menggalakkan pertumbuhan yang lebih menyeluruh.

“Kurikulum dan aktiviti yang dijalankan oleh LC mampu merealisasikan hasrat agar kanak-kanak dapat mencapai potensi penuh mereka dalam pelbagai aspek kehidupan,” katanya.

Ketika ini bukan sahaja tadika, LC juga telah mengembangkan sayap melalui Little Caliphs Playschool untuk anak-anak dua hingga tahun dan juga Program Transit untuk anak-anak lapan hingga 12 tahun untuk muncul sebagai hab pendidikan di negara. – MalaysiaGazette