GAZA CITY – Dunia terus membiarkan Israel membunuh rakyat Palestin di Gaza dengan angka korban kini mencecah 17,200 nyawa.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Palestin, Ashraf al-Qudra pada sidang media berkata, 70 peratus daripada mangsa yang maut adalah bayi, kanak-kanak dan wanita.
Jumlah mereka yang cedera juga meningkat kepada 46,000 orang dalam serangan rejim zionis yang masuk hari ke-61.
“Sekurang-kurangnya 290 pegawai perubatan terbunuh, 102 ambulans musnah dan 160 pusat penjagaan kesihatan menjadi sasaran dalam serangan Israel, manakala 20 hospital dan 46 pusat jagaan telah dipaksa keluar dari perkhidmatan,” kata al-Qudra.
“Kami menghadapi kesukaran mengira bilangan syahid dan cedera akibat serangan berterusan dan pemadaman komunikasi,” tambahnya seperti yang dilaporkan oleh agensi Anadolu.
Israel meneruskan serangan ketenteraannya di Semenanjung Gaza pada 1 Disember lalu selepas berakhirnya jeda kemanusiaan selama seminggu dengan Hamas. – Agensi