Reaksi penolong pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Abdul Wahab Abdul Kadir pada sidang media mengenai video yang tular petang semalam di Hotel Tenera, Bangi, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 17 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Penolong pegawai Jabatan Komunikasi Masyarakat (J-Kom), Abdul Wahab Kadir Jilani akan mulakan tindakan saman terhadap dua individu berhubung penularan video perbualan lucah individu mirip bekas Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Mohammad Agus Yusoff dan Wahab.

Perkara itu disahkan kepada MalaysiaGazette oleh peguamnya, Faizal Rahman hari ini.

Difahamkan, Abdul Wahab menyaman Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin, lebih dikenali sebagai Chegubard, dan Pengarah Bahagian J-Kom, Hakim Ramlee.

“Anak guam saya telah memberi arahan untuk mengeluarkan surat tuntutan saman kepada dua individu ini berhubung penularan video lucah.

“Itu sahaja yang boleh saya dedahkan, yang lain-lain kita maklumkan kemudian,” katanya ringkas sebentar tadi.

Sebuah rakaman video berdurasi tiga minit yang tular sejak 17 November lalu menjadi topik hangat di laman media sosial, berikutan terdapat individu mirip Mohammad Agus bersama seorang lelaki.

Susulan itu, Mohammad Agus yang meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM mendakwa video perbualan mengaitkan beliau adalah palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab.

Selain itu, Abdul Wahab mendakwa beliau dijadikan kambing hitam untuk menjatuhkan Mohammad Agus oleh individu bernama Mr H namun sehingga kini identiti itu belum dapat disahkan. -MalaysiaGazette