KUALA LUMPUR – Penghantaran misi bantuan kemanusiaan ketiga Ops Ihsan ke Gaza pertama dan kedua daripada Malaysia sudah selamat tiba di bumi Gaza, kata Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Menteri Luar Negeri itu berkata, ia berdasarkan kepada laporan yang diterima Wisma Putra selepas dua misi bantuan direalisasikan bulan lalu.
“Penghantaran pertama dan kedua telah selesai dan telah pun masuk ke Gaza. Kita telah mendapat laporan hantaran itu telah sampai ke sasaran seperti mana yang telah dirancangkan,” katanya selepas mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim solat Jumaat di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Anwar sebelum itu sempat meluangkan masa untuk makan tengahari bersama calon Naib Presiden Indonesia, Mahfud MD.
Anwar yang tiba di Medan Selera Jalan Duta pukul 12.40 tengahari ditemani Mahfud yang sedang menjalani kempen pilihan raya naib presiden Indonesia dengan mendekati para pengundi dan warganegara republik itu di negara ini.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Duta Indonesia di Malaysia, Hermono.
Putrajaya pada 10 November menghantar 20 tan barangan keperluan perubatan, barangan bayi dan makanan ke Gaza disusuli 16 tan barangan bantuan yang tiba di Mesir pada 11 November lalu.
Dalam pada itu, Zambry berkata, Malaysia akan menghantar bantuan kemanusiaan buat kali ketiga pada 17 Disember depan.
Ia melibatkan 60 tan bantuan keperluan antaranya bahan makanan dan ubat-ubatan.
“Kita (kerajaan) tengah kumpulkan lagi (bantuan kemanusiaan) dan penghantaran kali ini akan melibatkan lebih banyak bantuan berbanding penghantaran pertama dan kedua dalam 50 tan.
“Pada kali ini kita akan hantar bantuan sebanyak 60 tan dan doakan supaya penghantaran itu dapat dihantar dengan selamat,” katanya lagi.
Rabu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penghantaran itu tiga kali ganda lebih besar berbanding jumlah 20 tan masing-masing pada misi pertama dan kedua yang dilaksanakan sebelum ini.
Katanya, buat masa ini, kutipan sumbangan bantuan menerusi Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) masih berjalan dan ia dipantau oleh Kementerian Luar. – MalaysiaGazette