Superintendan Ashari Abu Samah

KUALA LUMPUR – Polis menemui mayat seorang penuntut kolej swasta di atas katil serta berbau busuk di dalam rumah sewanya di sebuah apartmen di Jalan Metro Pudu 2 di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, mayat yang dikenal pasti identiti sebagai lelaki warga Yaman berusia 24 tahun itu ditemui kira-kira pukul 5 petang.

Katanya, terdahulu polis menerima panggilan orang awam  menyatakan telah menghidu bau busuk menyerupai mayat dari rumah tersebut.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi sebelum pemeriksaan pegawai penyiasat membawa kepada penemuan mayat penuntut warga Yaman itu,” katanya ketika ditemui di Majlis Perasmian Balai Polis Setiawangsa hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid dan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Aidi Ismail hadir merasmikan Balai Polis Setiawangsa di sini hari ini.

Tambah Ashari, mayat penuntut itu sudah dirujuk ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat bagi menentukan punca kematian.

“Proses bedah siasat terhadap mayat lelaki berkenaan akan dijalankan hari ini dan kita sedang menunggu keputusan autopsi untuk mendapatkan punca yang menyebabkan kematian.

“Polis tidak mengesan sebarang unsur jenayah dan buat masa ini kita mengklasifikasikan kes terbabit sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya – MalaysiaGazette