Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie

KEPALA BATAS – Polis menahan pemandu kereta yang dipercayai bertindak melanggar dan mengugut penunggang motosikal lelaki di sebuah stesen minyak di kawasan Tasek Gelugor, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Mohd Asri Shafie berkata, lelaki berusia 29 tahun dan tidak bekerja itu ditahan di kawasan Tasek Gelugor, di sini, kira-kira 2 petang tadi, hasil risikan dan maklumat awam.

“Dia akan direman untuk siasatan lanjut berhubung kes tersebut. Kes disiasat di bawah Seksyen 427 dan 506 Kanun Keseksaan,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu Mohd Asri berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian itu daripada mangsa.

“Hasil siasatan awal yang dijalankan oleh polis mendapati kejadian itu berpunca apabila mangsa menegur seorang lelaki yang memandu kereta kerana suspek memotong kenderaan tanpa memberi isyarat lampu sisi dan tindakan tersebut berbahaya.

“Pemandu kereta itu yang tidak berpuas hati telah bertindak melanggar motosikal dan penunggang motosikal itu dengan keretanya, ekoran kejadian tersebut mangsa (penunggang motosikal) membuat laporan polis,” katanya.

Terdahulu tular di media sosial video berdurasi 27 saat memaparkan seorang penunggang motosikal diugut dan dilanggar oleh seorang pemandu kereta Proton Wira sehingga mengalami kecederaan kaki kanan dan motosikalnya rosak.

Pemandu itu dilihat keluar daripada kenderaannya dengan memegang sebatang besi namun sebaik mangsa memberitahu dia merakam video, suspek terus masuk semula ke dalam kereta. – Bernama