Menteri Pengangkutan, Anthony Loke

KUALA LUMPUR – Kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan tidak akan memberikan sebarang diskaun saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya telah menetapkan dasar supaya jabatan itu tidak lagi memberi pelepasan atau diskaun saman kepada orang ramai.

Jelas Anthony, semasa pentadbirannya, beliau sudah melupuskan lebih empat juta saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sekaligus mengurangkan hasil kerajaan sebanyak RM600 juta.

“Saya sudah katakan sebelum ini ketika membatalkan semua saman AES, bahawa pemberian itu adalah secara one-off. Ramai yang sambut baik tindakan itu.

“Namun selepas itu, tiada lagi diskaun akan diberikan oleh kementerian ini. Ini kerana kita beri saman itu untuk mendidik, namun sekiranya kita beri pengurangan kepada mereka, seolah-olah kita ini boleh bertolak ansur malah ia tidak adil kepada individu yang membayar saman mengikut tarikh yang ditetapkan.

“Saya tahu orang tidak gembira dengan berita ini dan akan mengkritik dan mungkin mengatakan saya ini tidak ada rasa simpati.

“Tetapi saya mohon maaf kerana bagi saya apa yang paling penting adalah isu keselamatan jalan raya perlu diberikan keutamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat reruai kementerian itu sempena Karnival Setahun Bersama Kerajaan Malaysia Madani di pekarangan Stadium Bukit Jalil hari ini.

Awal hari ini, Sekretariat Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI memaklumkan tiada diskaun saman JPJ bersempena program Setahun Bersama Malaysia MADANI bermula semalam hingga esok.

Anthony dalam pada itu berkata, walaupun menerima permintaan untuk memberikan diskaun ketika kanival berkenaan namun pihaknya perlu tegas kerana diamanahkan untuk bertanggungjawab dalam isu keselamatan jalan raya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun pihaknya tidak memberi diskaun saman namun pelbagai insiatif lain tetap diadakan bagi membantu rakyat.

“Saya lakukan perkara lain, seperti pemberian topi keledar percuma kepada penunggang motosikal serta pemberian cabutan bertuah membabitkan tiket penerbangan ke beberapa lokasi secara percuma.

“Tetapi dalam soal saman ini, saya tidak mahu berkompromi. Itu adalah dasar yang sudah saya bawa sejak menjawat jawatan ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette