Sebanyak 113 motosikal disita dalam Ops Khas Samseng Jalanan di Seberang Jaya, Pulau Pinang hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Polis menyita sebanyak 113 motosikal dalam Ops Khas Bersepadu Samseng Jalanan di Lebuh Raya Utara Selatan di Samagagah, Seberang Jaya di sini, awal pagi tadi.

Operasi bermula jam 12 tengah malam itu dilakukan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dengan kerjasama JSPT Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang serta Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (IPD SPT).

IPD SPT dalam satu kenyataan berkata, operasi tersebut bagi membendung kegiatan samseng jalanan yang membahayakan pengguna jalan raya serta menganggu ketenteraman awam.

Kesemua motosikal disita mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.


“Selain menyita 113 buah motosikal kita turut mengeluarkan 334 keping saman atas pelbagai kesalahan trafik.

“JSPT Bukit Aman, JSPT IPK Pulau Pinang dan BSPTD IPD SPT tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti tidak bermoral seperti ini dan operasi secara giat akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan samseng jalanan diminta untuk menyalurkan kepada Bilik Gerakan IPD SPT di talian 04 530 6402. – MalaysiaGazette