KUALA LUMPUR – Seramai 12,300 pesalah trafik menjelaskan saman bagi tempoh dua hari sejak kelmarin sempena Program Setahun Bersama Kerajaan Madani yang berlangsung di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Sepanjang tempoh itu, sebanyak 37,242 saman telah dijelaskan di 14 buah Kaunter Bayaran Saman termasuk baucar diskaun yang dijelaskan melalui portal dan aplikasi Mybayar PDRM, dengan rekod penyelesaian saman sebanyak 87.4% (tidak termasuk penyelesaian saman di kaunter).
Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman berkata, pihaknya telah menempatkan 39 petugas dan menyediakan kaunter khas bagi warga emas dan orang kelainan upaya.
Waktu operasi kaunter yang bermula 9 pagi hingga 6 petang telah dilanjutkan sehingga 9 malam.
Menurutnya, kempen pengurangan kompaun saman sehingga 50% mendapat sambutan menggalakkan.
“PDRM menasihatkan orang ramai tidak hanya menunggau tawaran diskaun bagi menjelaskan saman tertunggak mereka dan menyarankan agar patuh kepada peraturan serta undang-undang lalu lintas,” katanya dalam kenyataan di sini. – MalaysiaGazette