Azalina Othman Said.

KUALA LUMPUR – Malaysia menyuarakan rasa bimbang terhadap sebarang cubaan remeh dan menjengkelkan oleh mana-mana pihak bagi menjejas dan menganggu perjalanan prosiding jenayah terhadap Gonzalo Stampa yang sedang berlangsung.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, percubaan gerila seperti dilihat dalam media baru-baru ini yang usul difailkan pada 4 Dis lepas tidak lebih daripada sandiwara terbaru dalam pertikaian Sulu, adalah untuk menafikan kedaulatan undang-undang.

“Langkah berbentuk terdesak dan tidak berasas sebelum perbicaraan jenayah Stampa, adalah untuk memberi tekanan kepada kerajaan Malaysia, mahkamah Sepanyol, dan Pendakwa Raya, seharusnya dilihat sebagai aktiviti prosedur penipuan tambahan.

“Tujuannya semata-mata untuk campur tangan, dan menyimpang daripada prosiding jenayah yang sedang berjalan di Sepanyol terhadap Stampa.

Beliau berkata, Stampa menghadapi pertuduhan jenayah berhubung hina mahkamah dan amalan profesion tanpa kelayakan, dan dia dilaporkan akan dihadap ke mahkamah Madrid esok.

Azalina berkata, Kerajaan Malaysia menghormati mahkamah Spanyol serta keputusannya, dan menyangkal sebarang laporan media yang mencadangkan sebaliknya.

“Sepanjang kes ini Malaysia bertindak bagi memelihara haknya sebagai sebuah negara yang berdaulat sebagai respons terhadap aktiviti buruk yang konsisten daripada warga Filipina berkenaan serta wakil mereka. Kerajaan Malaysia penuh yakin dengan sistem kehakiman Sepanyol dalam melaksanakan keadilan kepada 32 juta rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata mahkamah Sepanyol, Perancis dan Belanda telah pun mengesahkan kedudukan keseluruhan Malaysia berhubung kes Sulu dan mengenai Anugerah Akhir yang kononnya dikeluarkan oleh Stampa pada 28 Feb 2022 (yang menuntut Malaysia membayar AS$ 14.9 bilion).

Mahkamah Tinggi Spanyol sebelum ini telah mengisytiharkan pembatalan pelantikan Stampa sebagai penimbang tara dan memerintahkannya untuk menamatkan prosiding, kerana satu-satunya hak beliau untuk bertindak sebagai penimbang tara adalah terbatal.

Stampa yang memperoleh lebih AS$2.5 juta daripada kumpulan mengaku waris Sulu (dibiayai oleh pembiaya litigasi, Therium), dengan sedar enggan mematuhi perintah itu.

Mahkamah di Perancis dan Belanda pula telah mengisytiharkan pada Jun 2023 bahawa Malaysia tidak pernah setuju perkara itu dibawa kepada timbang tara, dan oleh itu timbang tara palsu tidak sepatutnya berlaku.

Azalina berkata percubaa warga Filipina itu untuk menguatkuasakan anugerah yang dikatakan dikeluarkan timbang tara Stampa di Perancis dan Belanda juga tidak berjaya sehingga kini, hasil daripada keputusan mahkamah negara-negara berkenaan.

“Keputusan mahkamah-mahkamah ini mengesahkan bahawa penipuan Sulu dan proses timbang tara yang didakwa itu, tidak lebih daripada percubaan untuk memeras ugut yang direka dengan baik, tetapi benar-benar cacat dan tidak berasas ke atas rakyat Malaysia,” katanya.

“Kerajaan Malaysia akan memastikan bahawa kedaulatan, keselamatan dan kepentingan Malaysia dilindungi dan dipertahankan pada setiap masa,” katanya. – BERNAMA