Ramli Mohamed Yoosuf pada sidang media hari ini.

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSK) telah membuka sebanyak 38,851 kertas siasatan dengan nilai kerugian RM2,198,264,912.26 melibatkan pelbagai kesalahan jenayah komersil antara 1 Januari hingga 8 Disember tahun ini.

Menurut Pengarah JSJK, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, kes-kes penipuan yang disiasat di bawah Sesyen 420 Kanun Keseksaaan mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 35,554 kes (91.5 peratus).

Selain itu ialah kes pecah amanah sebanyak 946 kes (2.4 peratus), jenayah siber 840 kes (2 peratus), pemalsuan 129 kes (0.3 peratus), wang palsu 95 kes (0.2 peratus).

“Juga salah guna harta dengan curang sebanyak 45 kes (0.1 peratus) dan lain-lain sebanyak 80 kes,” katanya pada media pada sidang media di Tingkat 36 JSJK di sini hari ini.

Daripada 35,554 kes penipuan disiasat, 33,235 adalah berkaitan jenayah penipuan dalam talian merangkumi pelbagai modus operandi termasuklah jenayah e-dagang, telekomunikasi, pelaburan tidak wujud, pinjaman tidak wujud, e-kewangan dan love scam.

Menurutnya, jika dinisbahkan kekuataan semasa pegawai penyiasat adalah seramai 839 orang dengan jumlah kes, rationya adalah 1:46.

Dalam pada itu, Ramli juga memaklumkan secara puratanya sebanyak 36 kes penipuan dilaporkan setiap hari kepada National Scam Response Centre (NSRC).

Jelasnya, angka tersebut berdasarkan 15,133 panggilan diterima setakat 30 November 2023.

Jumlah kerugian melibatkan kes NSRC antara 12 Oktober 2022 hingga 30 November 2023 ialah RM173,339,234.73 manakala wang berjaya disekat pula sebanyak RM33,046,472.76, ujarnya. -MalaysiaGazette