Harith Fadzilah Abdul Halim

IPOH – Bacaan doa Qunut Nazilah di masjid dan surau seluruh Perak sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin di Gaza yang menghadapi serangan rejim Zionis Israel, masih diteruskan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, doa itu boleh diteruskan selagi umat Islam di Gaza masih berdepan dengan ancaman rejim Zionis.

“Kita teruskan dan banyakkan berdoa. Kita tiada masalah tentang Qunut Nazilah ini dibuat dalam setiap solat fardu, malah digalakkan kepada semua perbanyakkan doa untuk sahabat kita di Gaza supaya Allah SWT melindungi mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Hi-Tea Pelancaran Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Anak Yatim serta Penyampaian Sumbangan kepada Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim Perak di sini hari ini.

Pada 9 Dis lepas, Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Osman dilaporkan berkata bacaan Qunut Nazilah yang dilaksanakan selama sebulan di masjid dan surau seluruh Pahang sebagai solidariti kepada rakyat Palestin, ditangguhkan sementara selaras dengan sunah Rasulullah.

Menurutnya berdasarkan hadis, Rasulullah hanya melaksanakan bacaan doa itu selama sebulan sebelum ia dihentikan.

Dalam perkembangan lain, Harith Fadzilah berkata JAIPk masih menangguhkan aktiviti mengajar dan syarahan oleh penceramah dari luar mahupun dalam negeri ini di masjid, surau diri Jumaat (SDJ) dan surau yang berdaftar dengan jabatan itu.

Beliau berkata, beberapa perkara yang tertakluk di bawah Garis Panduan Permohonan Penceramah dan Pengajar sedang diperhalusi bagi memastikan tidak berlaku isu berbangkit.

“Kita jangkakan selepas Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) baru-baru ini, perkara itu akan selesai tetapi sebaliknya berlaku atas beberapa sebab antaranya ada banyak ajaran yang dibawa mengelirukan, mungkin perkara ini ada dalam kalangan kita yang tidak perasan tetapi sedang berjalan,” katanya.

Pada 23 Ogos lepas, Harith Fadzilah menegaskan JAIPk mengambil keputusan menangguhkan sebarang bentuk aktiviti mengajar serta syarahan membabitkan pendakwah dalam dan luar negeri berkuat kuasa serta-merta hingga tarikh yang akan diberitahu kelak. – BERNAMA