PUTRAJAYA – Deraf Dasar Francais Negara 2030 (DFN 2030) dijangka dibentangkan kepada Kabinet pada Januari ini.
Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya berharap dasar itu akan dilancarkan pada suku pertama tahun depan.
Menurutnya, DFN 2030 akan menggariskan hala tuju yang lebih jelas dan ruang untuk industri berkembang secara lebih holistik untuk menjadikan industri francais sebagai antara penyumbang utama kepada kemampanan ekonomi negara.
Ia sejajar dengan matlamat Ekonomi Madani untuk melonjakkan Malaysia sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia Tenggara.
“Dasar ini meletakkan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai antara pemain utama industri francais global dengan memanfaatkan potensi besa industri ini.
“Trend pengembangan pasaran industri francais dijangka mencecah USD200 bilion bagi rantau Asia Tenggara seperti mana yang dinyatakan dalam ASEAN Franchise Report 2024 dan USD590 bilion di peringkat global pad tahun 2024 berdasarkan ringkasan kajian World Franchise Forecast 2024: Bright Future Ahead.
“Trend pertumbuhan pasaran francais dunia dianggarkan mencecah kadar tahunan mencecah 10 peratus,” katanya ketika menghadiri Sesi Town Hall Dasar Francais Negara 2023 di kementeriannya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Armizan memberitahu, sesi Town Hall itu telah melibatkan 200 pemain industri francais yang terdiri daripada wakil francaisor, francaisi, dewan perniagaan dan agensi awam berkaitan.
Jelas beliau, ia dilaksanakan untuk mendapatkan maklum balas semua pihak berkepentingan terhadap deraf DFN 2030.
Katanya, pihak berkepentingan boleh memberi maklum balas sehingga 31 Disember ini.
“la merupakan susulan kepada pelbagai siri bengkel dan seminar yang telah dilaksanakan sebelum ini bagi memastikan penggubalan sebuah dasar yang berupaya untuk memandu hala tuju pemerkasaan industri francais negara.
“Melalui sesi libat urus terkini sebelum ini iaitu Bengkel Pemurnian DFN yang telah berlangsung pada 14 hingga 16 September lalu,” katanya. – MalaysiaGazette