Tedros Adhanom Ghebreyesus. foto AP

GENEVA – Selagi tiada gencatan senjata, sehingga itu situasi Gaza tidak akan aman.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata demikian semasa ucapan penutup sesi khas Lembaga Eksekutif WHO.

Dalam sesi itu, WHO telah menerima pakai resolusi bahawa “semua pihak dalam konflik bersenjata mesti mematuhi sepenuhnya kewajipan yang dikenakan kepada mereka di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa berkaitan dengan perlindungan orang awam dalam konflik bersenjata dan kakitangan perubatan”.

Lembaga Eksekutif WHO sebulat suara menerima pakai resolusi menangani krisis kemanusiaan di Gaza, menekankan keutamaan kesihatan sejagat dan peranan perkhidmatan kesihatan serta bantuan kemanusiaan dalam membina jambatan kepada keamanan, walaupun dalam situasi yang mencabar.

Resolusi itu menggesa penghantaran bantuan kemanusiaan “segera, berterusan dan tanpa halangan” ke Gaza, termasuk akses untuk kakitangan perubatan.

Kenyataan itu termasuk ucapan penutup Tedros, yang menekankan penerimaan resolusi itu “hanya satu titik permulaan.

Katanya, resolusi itu tidak menyelesaikan krisis tetapi menyediakan platform untuk membina.

Tedros menyeru semua negara anggota, terutama mereka yang mempunyai pengaruh menamatkan konflik di Gaza secepat mungkin.

“Tidak ada kedamaian tanpa gencatan senjata, dan tanpa keamanan, di sana tiada kesihatan,” ujarnya. – Agensi