Ketua Perangkawan
Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

KUALA LUMPUR – Perdagangan Borong dan Runcit Malaysia mencatatkan kenaikan pada kadar 6.5 peratus dengan nilai jualan berjumlah RM142.3 bilion setakat Oktober 2023.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, bagaimanapun nilai jualan jatuh marginal – 0.3 peratus berbanding September 2023.

“Peningkatan sebanyak 6.5 peratus tahun ke tahun bagi Perdagangan Borong & Runcit pada Oktober 2023 disumbangkan oleh subsektor Perdagangan Borong yang meningkat 5.7 peratus atau RM3.4 bilion kepada RM63.3 bilion.

“Perdagangan Runcit juga berkembang dengan mencatatkan 3.9 peratus atau RM2.3 bilion kepada RM60.6 bilion, diikuti oleh Kenderaan Bermotor dengan pertumbuhan dua digit 19.1 peratus atau RM3 bilion untuk berada pada RM18.4 bilion,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, penurunan marginal – 0.3 peratus berbanding bulan sebelumnya adalah disebabkan oleh Perdagangan Borong yang menguncup -1.4 peratus diikuti oleh Perdagangan Runcit dengan -0.8 peratus.

“Sebaliknya, Kenderaan Bermotor kembali mencatatkan pertumbuhan positif 5.2 peratus. Pertumbuhan 5.7 peratus tahun ke tahun bagi Perdagangan Borong disumbangkan oleh Lain-lain Pengkhususan Jualan Borong yang meningkat RM1.7 bilion atau 7.5 peratus kepada RM24.4 bilion.

Ini diikuti oleh Jualan Borong Barangan Isi Rumah (4.7%), Jual Borong Bahan Mentah Pertanian & Haiwan Hidup (8.9%), Jualan Borong Makanan, Minuman & Tembakau (3.3%), Jualan Borong Jentera, Peralatan & Bekalan (3.4%), Perdagangan Borong Tanpa Pengkhususan (5.7%) dan Jual Borong Berdasarkan Kontrak atau Yuran (4.2%).

Bagaimanapun, katanya, Perdagangan Borong jatuh -1.4 peratus disebabkan oleh Lain-lain Pengkhususan Jualan Borong (-2.8%), Jualan Borong Makanan, Minuman & Tembakau (-2.5%) dan Jual Borong Bahan Mentah Pertanian & Haiwan Hidup (-3.5%).

Mengulas lanjut mengenai Subsektor Perdagangan Runcit, beliau berkata, kenaikan 3.9 peratus tahun ke tahun pada bulan ini disokong oleh Jualan Runcit di Kedai Bukan Pengkhususan yang tumbuh 6.1 peratus atau RM1.3 bilion kepada RM22.9 bilion.

Kumpulan lain dalam subsektor ini turut merekodkan pertumbuhan positif iaitu Jualan Runcit Makanan, Minuman & Tembakau (10.8%), Jualan Runcit di Kedai Pengkhususan (2.2%) dan Jualan Runcit Bahan Api Kenderaan (4.8%).

Turut sama Jualan Runcit Barangan Isi Rumah (2.0%), Jualan Runcit Barangan Kesenian & Rekreasi (1.5%), Jualan Runcit di Gerai & Pasar (5.2%) dan Jualan Runcit Bukan di Kedai, Gerai atau Pasar (0.2%).

Sebaliknya, jualan subsektor ini turun -0.8 peratus didorong oleh Jualan Runcit di Kedai Bukan Pengkhususan (-1.2%), Jualan Runcit di Kedai Pengkhususan (-1.1%), Jualan Runcit Kelengkapan Informasi & Komunikasi (-1.4%) dan Jualan Runcit Makanan, Minuman & Tembakau (-1.3%).

Sementara itu, katanya, pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 19.1 peratus bagi subsektor Kenderaan Bermotor pada bulan ini dipacu oleh Jualan Kenderaan Bermotor yang melonjak 24.6 peratus atau RM2.0 bilion untuk merekodkan RM10.3 bilion.

Ini diikuti oleh Jualan Komponen & Aksesori Kenderaan Bermotor (16.1%) dan Penyelenggaraan & Pembaikan Kenderaan Bermotor (17.7%).

Bagi perbandingan bulanan, subsektor ini tumbuh 5.2 peratus disokong oleh Jualan Kenderaan Bermotor (8.6%), Jualan, Penyelenggaraan & Pembaikan Motosikal (7.0%), Jualan Komponen & Aksesori Kenderaan Bermotor (0.4%) dan Penyelenggaraan & Pembaikan Kenderaan Bermotor (0.5%), katanya.

Bagi indeks jualan runcit melalui internet pula, indeksnya jatuh -0.3 peratus tahun ke tahun pada Oktober 2023 berbanding 2.0 peratus pada September 2023.

“Bagi nilai pelarasan musim, indeks ini merosot -1.5 peratus berbanding bulan sebelum,” katanya.

Mengulas indeks volum, beliau berkata, Perdagangan Borong & Runcit pada Oktober 2023 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 4.5 peratus.

Pengembangan ini disumbangkan oleh semua subsektor iaitu Kenderaan Bermotor (15.8%), Perdagangan Borong (4.7%) dan Perdagangan Runcit (2.3%).

“Sebaliknya, bagi indeks volum pelarasan musim, ia menurun -2.2 peratus bulan ke bulan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast