KUALA LUMPUR – Kelantan FC terus ‘lunyai’ dibelasah lawan apabila tewas kepada PDRM FC 2-7 pada perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Kuala Lumpur malam tadi.
The Red Warriors yang dibarisi pemain bawah 23 tahun jelas sekali tidak bermaya untuk menyekat kemaraan PDRM FC.
Penguasaan bola 72 peratus dikuasai PDRM FC berbanding Kelantan FC yang dipimpin Angel Alfredo Vera.
Skuad kendalian Datuk Yunus Alif terlebih dahulu menguji gawang Kelantan FC seawal minit ke-15 menerusi ayam tambatan mereka Bruno Suzuki namun sepakannya berjaya ditepis penjaga gol lawan Irfan Haikal Iffendi.
PDRM FC terus melancarkan serangan bertali arus ke kubu lawan sebelum berjaya mencetak gol pembukaan menerusi tandukan James Okwuosa pada minit ke-19 hasil daripada sepakan sudut.
Peluang terbaik Kelantan FC untuk menyamakan kedudukan hadir pada minit 30 namun sepakan Reegan Abraham dari luar kota penalti terkena palang sekali gus memberi kelegaan kepada tuan rumah.
Tuan rumah terus manfaatkan ketinggian yang dimiliki pemain mereka apabila menjaringkan gol kedua pada masa tambahan separuh masa kedua menerusi tandukan Izaaq Izhan untuk kedudukan 2-0.
Memasuki babak kedua menyaksikan, PDRM FC tidak menunjukkan belas ihsan kepada pasukan ‘ubi muda’ apabila kerap melancarkan serangan berbahaya.
Kelantan FC yang hanya mengharapkan serangan balas berpeluang untuk merapatkan jurang gol pada minit ke-55 selepas dihadiahkan sepakan penalti namun sepakan Hafiq Jasman terkena palang.
Skuad The Cops terus memburu jaringan dengan Kyaw Min Hoo tidak berhadapan masalah untuk menyumbat gol ketiga buat PDRM pada minit 59.
Bruno terus menjadi duri dalam daging buat pasukan pelawat apabila ketangkasan sukar disekat pertahanan Kelantan FC sekali gus menyaksikan dia berjaya menghasilkan hatrik pada minit 62 dan 64 dan pada masa tambahan separuh masa kedua.
Satu lagi gol tuan rumah disumbangkan Nur Iqmal Harun sekali gus menyaksikan PDRM FC berpesta gol menumpaskan Kelantan FC.
Gol pasukan pelawat pula disumbangkan oleh Khala’if Naskam dan Leonardo Rolon sekali gus menyaksikan perlawanan tamat dengan keputusan 7-2 memihak kepada PDRM.
Kelantan FC selepas ini dijadualkan bertemu Kelantan United manakala PDRM FC akan menutup kempen saingan Liga Super musim ini dengan menentang Selangor FC.- MalaysiaGazette