Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal bercakap kepada media mengenai punca sokongannya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika di Baitul Husna, Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong. Foto MOHD ADZLAN, 11 DISEMBER 2023.

PUCHONG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan menerima tambahan sokongan daripada ahli Parlimen (MP) Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mendakwa sekurang-kurangnya lapan lagi ahli Parlimen pembangkang akan berbuat demikian tidak lama lagi.

“Dulu saya kata, lima enam orang. Sekarang ini ada tujuh lapan orang. Tapi nama saya tidak boleh maklumkan di sini.

“Tunggu masa dan lihat akan ada pengumuman-pengumuman mereka yang akan menyokong kerajaan madani. Insya-Allah dalam masa terdekat,” kata Syed Abu Hussin Hafiz.

Dalam sidang media hari ini, wakil rakyat itu bagaimanapun enggan mendedahkan nama ahli Parlimen terbabit selepas diminta oleh wartawan.

Beliau merupakan Ahli Parlimen Bersatu kelima yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan Anwar.

Turut berbuat demikian sebelum ini adalah Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Sementara itu, Syed Abu Hussin masih ahli Bersatu dan parti belum mengambil sebarang tindakan disiplin terhadap dirinya selepas menyatakan sokongan secara terbuka kepada Anwar di Dewan Rakyat pada 29 November lalu.

Tambah beliau, sehingga kini tidak ada mana-mana pemimpin Bersatu atau PN berjumpa dengannya untuk mendapatkan penjelasan selepas membuat sokongan terbuka kepada Perdana Menteri.

Bagaimanapun menurut Ahli Parlimen Bukit Gantang itu, nama beliau telah dikeluarkan daripada kumpulan WhatsApp PN.

“Yang pertamanya, saya tidak melanggar peraturan parti. Bersatu dalam perlembagaan tidak melarang seseiapa memberikan sokongan.

“Apa yang saya buat tidak melanggar perlembahaan parti. Kalau parti mahu mengambil tindakan ia perlu dibawa ke Jawatankuasa Disiplin yang akan memutuskan apa bentuk tindakan yang boleh diambil. Saya bersedia,” katanya.

Syed Abu Hussin Hafiz sekali lagi mengulangi tindakannya menyokong kepimpinan Anwar selepas PN dilihat tidak membuat sebarang usaha untuk berunding dengan Kerajaan Pusat.

Tegasnya, beliau memikirkan nasib rakyat di kawasannya dan kawasan yang dimenangi oleh PN yang majoriti penduduknya adalah orang Melayu.- MalaysiaGazette