KUALA LUMPUR – Seorang lelaki disyaki dibunuh ditemui dalam keadaan bogel di tepi jalan kawasan perindustrian di Kampung Cheras Baru di sini pada 6 pagi tadi.

Terdapat beberapa kesan kecederaan serta lebam pada bahagian badan mayat lelaki tempatan itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, mayat tersebut telah dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Cheras untuk bedah siasat dan mengenalpasti punca kematian.

Seorang saksi dilaporkan berkata, dia sempat melihat mayat terbaring berdekatan dengan tempat pembuangan sampah ketika anggota polis sudah pun tiba di kilang tempat kerjanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, sehingga kini pihaknya masih menyiasat motif pembunuhan.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat kejadian supaya menghubungi pihak polis untuk membantu siasatan.

“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan,” katanya menerusi kenyataan.-MalaysiaGazette