Wan Muhammad Arif Wan Bazli Fariz
Wan Muhammad Arif Wan Bazli Fariz (Gambar: Facebook)

KUALA LUMPUR – Cadangan melantik seorang Ahli Parlimen bukan Melayu dan Islam sebagai Perdana Menteri dikatakan bertentangan dengan semangat federalisme di negara ini.

Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Wan Muhammad Arif Wan Bazli Fariz berkata, perlembagaan di empat negeri menetapkan syarat Melayu dan Islam untuk pelantikan sebagai Menteri Besar.

Menurut beliau, syarat itu termaktub dalam Perkara 51 (2), Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959, Perkara 37 (2), Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis 1959, Perkara 35(2), Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah 1959 serta Fasal 2 dan fasal 24, Itqan Al-Muluk Bi Ta’dil As-Suluk (Perlembagaan Negeri Terengganu).

“Maka, amalan melantik Perdana Menteri daripada kalangan bukan Melayu di kala sebahagian negeri-negeri mensyaratkan orang Melayu dan beragama Islam untuk Menteri Besar, adalah jelas bertentangan dengan semangat federalisme yang patut diamalkan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Wan Muhammad Arif mengulas kenyataan Kit Siang pada 29 November lalu bahawa Perlembagaan Persekutuan tidak menyekat mana-mana orang bukan Melayu daripada menjadi Perdana Menteri.

Selain itu, beliau berkata, memandangkan Perlembagaan Persekutuan mengangkat Islam sebagai agama Persekutuan, maka sewajarnya Perdana Menteri yang berperanan sebagai ketua kerajaan juga beragama Islam.

Wan Muhammad Arif menambah, pakar undang-undang, Prof Datuk Shad Saleem Faruqi pernah memberi pandangan bahawa ia merupakan amalan politik kebiasaan untuk melantik Perdana Menteri dalam kalangan lelaki Melayu yang beragama Islam.

“Pakar sejarah, mendiang Tan Sri Dr Khoo Kay Kim sendiri berkata bahawa Perdana Menteri haruslah orang Melayu kerana kaum majoriti negara ini ialah orang Melayu (57.7 peratus) diikuti oleh kaum Cina (22.8 peratus), kaum India (6.6 peratus) dan kaum lain-lain (12.9 peratus).

“Oleh itu, pelantikan pemimpin negara mestilah dilantik dalam kalangan kaum yang paling dominan atau berpengaruh,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, Gamis berpandangan, kenyataan Kit Siang itu merupakan tindakan melulu yang tidak meneliti fakta-fakta tersebut serta biadab kerana mencabar kewibawaan orang Melayu.

“Lupakah beliau, Malaysia telah hidup aman sejak berpuluh tahun di bawah pemerintahan orang Melayu Islam?

“Bahkan, bangsa bukan Melayu dan bukan Islam juga tidak perlu risau kerana sejarah telah membuktikan bahawa Islam menjamin keadilan dalam pemerintahan tanpa mengira kaum dan kepercayaan,” katanya.

Wan Muhhammad Arif berkata, Gamis menggesa orang Melayu dan Islam agar peka serta sedar dengan agenda bertubi-tubi yang dimainkan oleh pihak tertentu untuk menggugat keharmonian kaum dan agama. – MalaysiaGazette