Tangkap layar video Facebook Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia ketika operasi pemasangan perangkap buaya di Tasik Kiambang, Serendah, Hulu Selangor.

KUALA LUMPUR – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor mengesan kehadiran seekor buaya di Tasik Kiambang, Serendah, Hulu Selangor.

Susulan itu, Pengarah Perhilitan negeri, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh berkata, pihaknya telah memasang perangkap menerusi operasi sejak awal bulan ini.

“Kami menerima aduan awam berhubung kehadiran buaya di tasik ini yang berhampiran dengan kawasan penempatan dan popular untuk pemancing.

“Hasil pemerhatian secara langsung mengesahkan kehadiran buaya itu yang dianggarkan sepanjang lima ke enam kaki (1.5 ke 1.8 meter),” katanya dipetik Berita Harian Online.

Menurut Wan Mohd Adib, pemasangan perangkap itu bertujuan menjamin keselamatan awam selain bagi memindahkan buaya berkenaan ke habitat lain.

“Orang awam terutamanya pemancing diminta berwaspada semasa melakukan aktiviti. Perhilitan akan terus memantau tasik tersebut sehingga buaya itu ditangkap demi keselamatan awam,” ujarnya. – MalaysiaGazette