Dr. Faihana (kiri) menerima tali penanaman rumpai laut daripada Irman sebagai gimik penyerahan platform rumpai laut kepada UMS.

KUALA LUMPUR – Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan Majlis Penyerahan Peralatan Penanaman Rumpai Laut di Jeti UMS, Kota Kinabalu, Sabah kelmarin.

Pensyarah Kanan (IPMB) UMS, Ts. Dr. Wahidatul Husna Zuldin berkata, program tersebut antara lain bertujuan merasmikan penyerahan peralatan penanaman rumpai laut daripada Jabatan Perikanan Sabah kepada UMS.

Menurutnya, ia juga merupakan salah satu aktiviti di bawah memorandum persefahaman yang telah ditandatangani oleh kedua-dua pihak pada bulan Jun tahun ini.

“Salah satu tujuan penyerahan peralatan penanaman rumpai laut kepada pihak UMS adalah untuk mengukuhkan lagi jalinan kerjasama antara dua agensi bagi memacu penyelidikan berkaitan rumpai laut yang merupakan salah satu industri penting dan berpotensi tinggi di Malaysia.

“Selain daripada penyerahan peralatan, satu ladang contoh turut dibangunkan berhampiran dengan jeti UMS.

“Jalinan kerjasama di antara Jabatan Perikanan dengan pihak UMS diharap mampu meningkatkan lagi aktiviti penyelidikan rumpai laut di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Majlis penyerahan tersebut disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah (Bahagian Pengurusan Industri Perikanan dan Pelaburan), Irman Isnain mewakili Pengarah Jabatan Perikanan Sabah.

Tambah beliau, selaras dengan sasaran Jabatan Perikanan dalam Pelan Sabah Maju Jaya, industri tersebut disasar untuk membangun dalam semua rantaian nilainya termasuk pembukaan kawasan kawasan baru, membangun aktiviti huluan dan hiliran serta membangun modal insan dalam industri ini.

Sehubungan itu, katanya, UMS berperanan dalam membantu aspek pembangunan modal insan untuk membolehkan industri ini berkembang di masa depan dengan mengambilkira kelebihan perairan negeri ini yang sangat sesuai untuk penanaman rumpai laut.

Seramai lebih kurang 30 orang hadirin terdiri daripada pegawai Jabatan Perikanan Sabah, pensyarah UMS dan staf sokongan hadir memeriahkan majlis ringkas itu.

Majlis turut dihadiri Pengarah IPMB UMS, Prof Madya Dr. Faihana Ching Abdullah. – MalaysiaGazette