Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid (tengah) melakukan gimik perasmian sempena Hari Mesra Pelanggan yang dilancarkan hari ini di Menara PTPTN, Kuala Lumpur. Foto NUR SYADILA AMARI, 12 DISEMBER 2023

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menawarkan pelbagai tawaran istimewa menerusi Kempen Jom Bayar PTPTN yang diadakan sempena Hari Mesra Pelanggan bermula hari ini sehingga 31 Disember 2023

Menerusi kempen itu juga peminjam berpeluang untuk mendapatkan diskaun sehingga 15% serta boleh melakukan bayaran pendahuluan tunggakan minimum sebanyak RM300 untuk membuat penstrukturan semula pinjaman.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata: “Kita juga menawarkan Cabutan Jom Bayar PTPTN dengan tawaran wang tunai berjumlah RM70,000 kepada 140 pemenang bermula 1 Disember lalu sehingga hujung bulan ini dan mereka yang membuat bayaran balik pinjaman turut diberi cenderamata eksklusif PTPTN.”

Tambahnya, syarat penyertaan juga mudah apabila peminjam hanya perlu membuat bayaran balik pinjaman dalam tempoh promosi dengan bayaran minimum RM300 bagi semua saluran bayaran balik sekali gus layak mendapat satu cabutan.

“Lebih menarik, bagi peminjam yang membuat bayaran balik pinjaman melalui aplikasi myPTPTN akan mendapat bilangan cabutan berganda. Oleh itu, manfaatkanlah myPTPTN dan anda akan mendapat lebih banyak peluang untuk menang,” katanya.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berucap ketika majlis perasmian Hari Mesra Pelanggan di Menara PTPTN.

Menurut Ahmad Dasuki, pelanggan yang mempunyai sebarang persoalan mengenai bayaran balik pinjaman boleh terus berhubung dengan barisan hadapan mereka menerusi #PTPTNSediaBantu yang menjanjikan perkhidmatan terbaik.

Sehingga 31 Oktober lalu, seramai 2.25 juta peminjam atau 83.05 peratus yang sepatutnya membuat bayaran balik telah mula berbuat demikian.
“Terima kasih diucapkan kepada para peminjam atas sifat tanggungjawab yang ditunjukkan. Semoga amalan mulia ini dicontohi oleh para peminjam lain,” tambahnya.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid meninjau proses khidmat pelanggan ketika peminjam melakukan urusan pembayaran balik pinjaman di Menara PTPTN.

“Inilah peluang terbaik kepada semua peminjam untuk berunding dengan pegawai PTPTN. Peminjam bukan sahaja dapat menikmati diskaun bayaran balik pinjaman, malah berpeluang membuat penstrukturan semula pinjaman dengan tawaran yang lebih menarik, berpeluang memenangi hadiah lumayan serta mendapat cenderamata eksklusif daripada PTPTN. Manfaat 4 dalam 1 ini sangat berbaloi untuk para peminjam sempena Hari Mesra Pelanggan dan Kempen Jom Bayar PTPTN,” ujar beliau lagi.

Beliau berharap para peminjam dapat hadir ke cawangan berdekatan memandangkan waktu operasi kaunter di Pejabat PTPTN negeri dan cawangan seluruh negara dilanjutkan mulai jam 8.30 pagi hingga 6.00 petang sempena Hari Mesra Pelanggan PTPTN.

Ia termasuk hari Sabtu dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang untuk memudahkan peminjam hadir berunding selain boleh melayari portal rasmi di www.ptptn.gov.my untuk sebarang maklumat lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast