Nga Kor Ming.

KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming komited menghapuskan bilik sewa ala ‘sangkar burung’ apabila terus melakukan operasi di premis komersial dan kediaman.

Bilik sewa tersebut diubah pemilik premis tanpa kelulusan pihak berkuasa.

Kor Ming berkata, pemilik premis harus mematuhi garis panduan serta spesifikasi yang ditetapkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mengelakkan premis terbabit terdedah kepada kebakaran.

Katanya, sehingga semalam, sebanyak 247 buah premis diperiksa seluruh Malaysia oleh JBPM bagi memastikan pemilik premis mematuhi garis panduan ditetapkan.

“Daripada 247 buah premis yang diperiksa, sebanyak 85 telah diberikan notis sepanjang pelaksananaan pemeriksaan khas menghapuskan bahaya kebakaran di premis yang dijadikan bilik sewa sangkar burung.

“Selain itu, 464 notis telah dikeluarkan sepanjang pelaksanaan pemeriksaan khas itu. Kita dapati ada dua premis di kawasan KL (Kuala Lumpur) yang telah diberikan notis telah bertindak menghentikan operasi serta mengambil tindakan segera dengan runtuhan semua binaan tidak patuh prosedur,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas memeriksa sebuah premis rumah kedai di Taman Maluri, Cheras yang telah dibersihkan selepas mendapat aduan orang awam 19 Oktober lepas.

Sebelum ini, media melaporkan mengenai bilik sewa ‘sangkar burung’ yang ditawarkan kepada orang ramai di Taman Maluri.

Bilik sewa kecil yang ditawarkan itu tidak menepati ciri-ciri keselamatan dan kebakaran bangunan serta tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa bagi pengubahsuaian premis dua tingkat berkenaan.

Menurut Kor Ming, operasi dilakukan bawah peruntukan Seksyen 38 Akta 341 yang memberi kuasa kepada pegawai untuk memasuki premis untuk menentukan sama ada terdapat risiko kebakaran.

Tambah beliau, akta tersebut memperuntukan didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, selain boleh dikenakan denda tambahan sebanyak RM100 setiap hari yang mana kesalahan berterusan dilakukan selepas sabitan. – MalaysiaGazette