Sebahagian mainan plastik yang dijual dalam pasaran negara dipercayai mengandungi kimia beracun yang dipanggil parafin berklorin.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa ibu bapa agar tidak memberikan alat mainan plastik kepada anak mereka kerana ia didapati mengandungi bahan kimia beracun yang dipanggil parafin berklorin.

Parafin berklorin yang dikelaskan berdasarkan panjang rantai karbon, merupakan bahan kimia sangat toksik digunakan di dalam pelbagai jenis plastik termasuk dalam alat mainan plastik kanak-kanak.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, bahan kimia itu boleh menyebabkan kerosakan pada hati dan buah pinggang, mengganggu sistem endokrin, menyebabkan kanser,  merosakkan otak yang sedang berkembang dan menimbulkan ancaman kepada kesihatan reproduktif.

Jelas beliau, parafin berklorin dibebaskan daripada plastik melalui kitaran hayatnya dan kanak-kanak boleh terdedah kepada bahan kimia dalam alat mainan melalui penyedutan habuk toksik, sentuhan kulit serta pengambilan yang boleh sama ada menerusi pendedahan kepada mulut atau dengan mengunyah.

Mohideen.

“Berdasarkan kajian yang dijalankan International Pollutants Elimination Network (IPEN) ke atas 31 sampel alat mainan plastik dikumpulkan dari 10 negara termasuk Malaysia, mendapati wujud parafin berklorin rantai pendek (SCCP) dan parafin berklorin rantai sederhana (MCCP) dalam semua alat mainan yang diuji.

Antara alat mainan terbabit ialah kuda tiup, ayam menjerit, itik getah, anak patung, dan beruang plastik yang mana sampel ini  dianalisis di makmal di Prague. SCCP diharamkan secara global dan MCCP sedang dinilai bagi pengharaman global.

“Beberapa alat mainan diuji mengandungi paras SCCP tinggi dan oleh itu alat mainan plastik yang digunakan oleh kanak-kanak bagi bermain adalah sangat toksik sehingga boleh diklasifikasikan sebagai sisa berbahaya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Tambah Mohideen, tiada alat mainan yang diuji oleh IPEN dilabelkan bagi kehadiran bahan kimia toksik yang diperlukan bagi kepentingan pelabelan dan kebolehkesanan sepanjang kitaran hayat plastik.

Katanya, SCCP disenaraikan bagi dihapuskan di bawah Konvensyen Stockholm pada 2017 kerana berterusan dan ketoksikannya, bagaimanapun Malaysia masih belum meratifikasi konvensyen itu.

“Ujian terbaharu yang dijalankan di Kanada mengesan kepekatan tinggi SCCP dan MCCP dalam alat mainan serta peranti elektronik. Kehadiran SCCP dalam produk ini amat membimbangkan kerana bayi dan kanak-kanak mudah terjejas kepada pendedahan daripada sumber itu.

“Walaupun produk yang diuji dibeli di Kanada, ia dikeluarkan bagi pasaran antarabangsa dan dengan itu boleh didapati di Malaysia.

“Berdasarkan kepada penemuan terbaharu itu, CAP menggesa kerajaan Malaysia bagi meratifikasi Konvensyen Stockholm,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast