KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan menawarkan tiga program pengajian baharu sebagai langkah memantapkan program-program akademik.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, usaha itu bertujuan menyahut saranan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan UMS telah mengorak langkah untuk memastikan program yang ditawarkan memenuhi keperluan industri, sama ada dalam sektor awam atau swasta.
Menurutnya, tiga program pengajian baharu adalah Sarjana Muda Sains Pertanian dengan Kepujian (Perladangan Persis Pintar), Sarjana Muda Sains Makmal Perubatan serta Asasi Sains Pertanian.
“Dalam sektor keselamatan makanan atau food security, UMS mendapat kelulusan untuk menawarkan program baharu iaitu Sarjana Muda Sains Pertanian dengan Kepujian (Perladangan Persis Pintar) yang merupakan suatu program bagi memastikan teknologi terkini diaplikasi bagi menjamin kelestarian pertanian untuk bekalan makanan negara dapat dijamin.
“Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) juga mengorak langkah ke hadapan di mana program baharu Sarjana Muda Sains Makmal Perubatan turut mendapat kelulusan.
“UMS turut diberi kebenaran untuk menawarkan program Asasi Sains Pertanian bermula sesi akademik 2024/2025 bagi memastikan pengambilan pelajar ke program-program pertanian dapat dipertingkatkan,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, program yang ditawarkan itu adalah unik dan satu-satunya ditawarkan di negara ini kerana ia membenarkan pengambilan pelajar lepasan Sijil pelajaran Malaysia (SPM) aliran sastera yang ada mengambil subjek sains dan matematik.
Dr. Kasim berkata, justeru ia akan membuka peluang luas bagi pelajar aliran sastera khususnya pelajar di Sabah untuk mengikuti program pertanian.
Beliau yakin UMS mampu menyediakan modal insan berkepakaran dalam bidang pertanian untuk jangka masa panjang. – MalaysiaGazette
















