Tang Yi Lin menerima anugerah Pingat Emas Canselor ketika Majlis Konvokesyen UMS ke-25 yang disampaikan oleh TYT Sabah, Tun Juhar Mahiruddin diiringi kedua ibu bapanya.

KOTA KINABALU – Sentiasa yakin akan kebolehan diri sendiri menjadi kunci  kejayaan penerima anugerah Pingat Emas Canselor, Tang Yi Li, 25, graduan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Beliau menerima anugerah tersebut daripada Tuan Yang Terutama, Tun Juhar Mahiruddin yang juga Canselor UMS setelah mendapat purata nilai gred PNGK 3.97 dalam pengajian Ijazah Doktor Perubatan dengan Kepujian.

Menurutnya, minat yang mendalam dalam subjek Biologi semasa masih menuntut di sekolah menengah membuka lembaran untuk mengikuti pengajian dalam bidang perubatan.

“Walaupun menghadapi cabaran dan pengorbanan, anugerah yang saya peroleh ini merupakan bukti ketekunan, sokongan keluarga dan semangat saya untuk terus belajar.

“Saya tidak dapat merayakan Tahun Baru Cina selama tiga tahun berturut-turut bersama ahli keluarga yang tercinta kerana dikekang dengan jadual yang padat dengan ujian dan kelas yang banyak.

“Kursus perubatan amat mencabar. Kaedah belajar melalui pengulangan, ketekunan belajar dan sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan amat bermakna kepada saya,” katanya demikian setelah menghadiri Majlis Konvokesyen UMS ke-25, semalam.

Sementara itu, katanya, terus maju ke depan dan percaya dengan proses menjadi pegangan hidupnya yang sering bermain badminton dan melancong bersama rakan-rakan di Kundasang, Labuan dan Pitas.

“Matlamat pertama saya ialah untuk menjadi kebanggaan keluarga saya. Bagi saya keluarga adalah segalanya dan merupakan penyokong utama saya dari dahulu sehingga kini,” ujarnya.

Tang berkata, beliau ketika ini bekerja sebagai pembantu penyelidik separuh masa dalam bidang neurologi, di Hospital Queen Elizabeth I. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast