Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis telah membuat tangkapan ke atas dua individu dalam membantu siasatan kes penemuan mayat seorang lelaki yang disyaki dibunuh di Jalan Kuari Kampung Cheras Baru, pada 11 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, mereka ditahan semalam di ibu negara dan Selangor.

“Kedua-dua suspek ini merupakan kawan kepada simati,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mereka yang masing-masing berusia 25 dan 35 tahun itu sudah direman sehingga 18 Disember ini untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Zam Halim berkata, lokasi sebenar mangsa dibunuh masih belum dikenalpasti dan motif mangsa dibunuh juga masih dalam siasatan polis.

Mayat lelaki tanpa pakaian itu ditemui dalam keadaan meniarap itu oleh orang awam kira-kira pukul 6 pagi.

Identiti mangsa, seorang akauntan sudah dikenalpasti oleh warisnya.

Proses bedah siasat telah dijalankan ke atas mayat dan hasil laporan menunjukkan punca kematian mangsa adalah disebabkan pelbagai kecederaan pada badan simati. – MalaysiaGazette

Mayat lelaki ditemui dekat tempat buang sampah