Kai Hassan ke udara memulakan kerjaya sebagai penyampai radio di Manis FM pada 2017.

KUALA LUMPUR – Suria FM mengumumkan Kai Hassan sebagai penyampai radio baharu bermula semalam yang bakal membawa impak baharu selain diberikan pendedahan menggendalikan beberapa segmen bersama penyampai radio lain.

Pengurus Besar Suria FM iaitu Roslinda Abdul Majid atau lebih mesra disapa DJ Lin berkata, kehadiran Kai akan menyertai barisan penyampai segmen Morning Morning Suria, Gaya Suria, Suria Petang dan Suria Cinta.

“Kemasukan Kai Hassan sebagai penyampai baru di Suria FM akan membawa impak baru dan di peringkat awal ini.

“Kai akan diberikan pendedahan serta pengalaman untuk mengendalikan semua segmen utama di Suria FM, iaitu Morning Morning Suria, Gaya Suria, Suria Petang dan Suria Cinta.

“Diharap dengan kemasukan Kai sebagai antara tunggak utama barisan penyampai radio Suria FM akan membawa impak lebih baik dan positif dalam mengukuhkan lagi pasukan kami di tahun 2014,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, DJ Lin turut mengucapkan rasa syukur dan terima kasih kepada Kai atas kesudiannya untuk bergabung dan menjadi sebahagian daripada keluarga Suria FM, sekali gus mengharapkan perubahan ini mampu meningkatkan lagi kualiti stesen radio tersebut.

Kai atau nama sebenarnya Abdul Karim Hassan memulakan kerjaya sebagai penyampai radio di Manis FM pada 2017.

Pada tahun 2020, penyampai radio itu berpindah ke stesen radio Selatan iaitu Best FM sebelum ditawarkan menjadi penyampai di Molek FM pada 2022.

Pada 4 Disember lalu, pelawak dan penyampai radio Shuib menamatkan perkhidmatan bersama stesen Suria FM kerana mahu memberi fokus kepada perniagaan miliknya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast