Mayat mangsa ditemui dalam timbunan barangan kitar semula di hadapan pintu utama rumah berkenaan.

GEORGE TOWN – Misteri bau busuk yang pada mulanya disangkakan berpunca daripada bangkai binatang di sebuah unit Flat Lumba Kuda, Ayer Itam, di sini, hari ini akhirnya membawa kepada penemuan mayat lelaki warga emas dipercayai sudah meninggal dunia beberapa hari lalu.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Sha’ari Mansor berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.25 tengah hari bagi khidmat khas membuka kunci pintu rumah tersebut sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi.

Jelas beliau, aduan dibuat penduduk berhampiran susulan bau busuk dipercayai dari rumah lelaki berusia 73 tahun yang dipercayai suka mengumpul barangan kitar semula serta terpakai di dalam rumah.

Pihak bomba membuka pintu rumah berkunci sebelum menemui mayat mangsa yang dipercayai sudah meninggal dunia beberapa hari lalu.

“Sebaik membuka pintu rumah yang berkunci itu kita dapati seorang lelaki berada dalam keadaan tidak sedar diri dalam timbunan barangan kitar semula di hadapan pintu utama rumah berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa dipercayai sudah meninggal dunia empat hari lalu berdasarkan keadaan dan cecair yang mengalir daripada mayat berkenaan,” katanya, hari ini.

Tambah beliau, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi proses bedah siasat.

“Kes diserah kepada pihak polis bagi tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 1.52 tengah hari,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast