Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos dimasukkan ke Pusat Perubatan Prince Court.

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos dimasukkan ke Pusat Perubatan Prince Court di sini untuk menerima rawatan bagi penyakit kanser paru-paru tahap empat yang berulang.

Anaknya, Amin Daniel Jamal memberitahu, kanser yang dihidapi bapanya sejak dua tahun lalu kini kembali dan menyerang organ dalaman pernafasan.

“Sebelum ini bapa saya dirawat di sebuah pusat perubatan swasta di sini selepas mengadu sakit dada dan sukar bernafas dengan lancar.

“Selain itu, bapa saya juga mendapat rawatan dengan mengambil ubat-ubatan dari luar negara, namun penyakit kanser itu kembali semula,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Ketua Komunikasi Barisan Nasional (BN) itu disahkan selesai menjalani rawatan dan dibenarkan discaj dari Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur, pada 21 September tahun lalu

Beliau menerusi satu hantaran di Facebook turut memaklumkan dirinya pulih sepenuhnya daripada penyakit kanser paru-paru tahap empat yang dihidapi sebelum ini berdasarkan pemeriksaan susulan oleh pihak hospital.

Menurutnya, keadaan kesihatannya merosot sejak 17 September 2022 disebabkan beban tugas terlampau seperti menghadiri hampir 20 program dalam masa dua hari.

Menurutnya, keadaannya bertambah buruk apabila terkena keracunan makanan di dalam salah satu majlis tersebut sehingga menyebabkan beliau pitam.

Dalam pada itu, Amin Daniel turut memberitahu, bapanya sedang berehat di hospital swasta berkenaan dan tidak mahu diganggu sehingga keadaannya stabil.

“Buat masa sekarang berilah ruang dan privasi kepada bapa saya untuk menerima rawatan dan fikirannya agak terganggu kerana penyakit kanser,” katanya.

Selain itu, keadaan fizikal bapanya agak terjejas akibat kesan ubat-ubatan yang diambil dan berat badannya turut menyusut.

“Saya harap orang ramai dan kenalan bapa saya dapat mendoakan kesihatan supaya beliau kembali pulih seperti sedia kala,” katanya lagi. – MalaysiaGazette