PETALING JAYA – Pasukan Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini meneruskan rutin pemeriksaan untuk mendapatkan bahan bukti baharu kes bunuh Zayn Rayyan Matiin di Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini hari ini.
Lebih 10 anggota polis Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dilihat memasuki Blok R, Apartmen Idaman sekitar pukul 11.30 pagi untuk meneruskan proses pencarian bahan bukti baharu untuk membantu siasatan.
Ia bagi membantu siasatan hari kelapan kes pembunuhan kanak-kanak autisme pada 6 Disember lalu.
Pada masa yang sama, sebuah kenderaan pacuan empat milik Unit Forensik PDRM dan sebuah kereta MPV Proton Waja polis dilihat berada di lokasi.
Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi mengesahkan sehelai stoking antara barang bukti diperoleh pihaknya untuk membantu siasatan dari kolam takungan berhampiran apartment berkenaan.
Namun polis belum dapat memastikan sama ada stokin itu adalah milik mangsa atau sebaliknya.
Katanya, stokin itu perlu dihantar ke makmal terlebih dahulu untuk dianalisa.
Zayn Rayyan ditemui pada 10 malam, 6 Disember lalu di anak sungai kira-kira 200 meter daripada perumahan itu.
Beberapa minit kemudian polis mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia sebelum kes disiasat sebagai mati mengejut.
Namun polis mengubah siasatan kes sebagai bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keselksaan selepas mengesan kecederaan pada badan mangsa menerusi hasil bedah siasat. – MalaysiaGazette