KUALA LUMPUR – Permohonan Fasa 1 untuk mengikuti pengajian Program Matrikulasi KPM bagi sesi 2024/2025 kepada pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2023 dibuka bermula 15 Disember ini hingga 31 Mac 2024.
Menurut Kementerian Pendidikan (KPM), permohonan Fasa 2 dan pengemaskinian maklumat pelajar akan dibuka selama lima hari selepas keputusan SPM tahun 2023 diumumkan.
Tambahnya, permohonan ke Program Matrikulasi KPM adalah percuma dan pelajar boleh memohon melalui laman sesawang https://matrikulasi.moe.gov.my.
“Keputusan permohonan akan dikeluarkan oleh Bahagian Matrikulasi KPM melalui laman sesawang dalam tempoh 21 hari bekerja selepas keputusan SPM tahun 2023 diumumkan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Katanya, pelajar yang berjaya mendapat tawaran ke Program Matrikulasi KPM perlu memuat turun dan mencetak sendiri surat tawaran dan dokumen pendaftaran melalui laman sesawang semakan keputusan tawaran Program Matrikulasi KPM. – MalaysiaGazette