Mohd Shukri Mohd Ramli

KUANTAN – Rancangan pelaksanaan operasi pendatang asing tanpa izin (PATI) di Pahang yang sering kali bocor perlu disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Aktivis masyarakat, Mohd Shukri Mohd Ramli berkata, mungkin terdapat dalang yang bersetongkol sehingga menyebabkan warga asing terbabit terlepas daripada tindakan undang-undang.

Beliau mendakwa, terdapat unsur salah guna kuasa membabitkan anggota penguatkuasaan yang menyaksikan golongan itu kini semakin bermaharajalela.

“Operasi bocor dari sumber orang dalaman, kalau sebelum ini operasi ada 10 kedai berniaga, tapi bila tiba hari operasi hanya lima kedai dibuka sementara lima lagi tiba-tiba ditutup.

“Sebagai bukti bila ada operasi yang adakan oleh pihak berkuasa, sudah ada kedai milik warga asing itu ‘bercuti’ dalam dua hari, kerana mereka sudah dimaklumkan awal-awal berhubung operasi itu,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Shukri, berikutan itu, operasi yang dilaksanakan tidak mencapai sasaran apabila ramai daripada mereka terlepas.

Tambah beliau, berdasarkan permerhatian yang dilakukan premis perniagaan membabitkan warga asing bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. – MalaysiaGazette