Asmah Pejajah, Ketua Komuniti Kampung Orang Asli (tengah) bersama Sukanto Aich dan pihak Signify di depan pencahayaan solar yang dipasang di Kampung Orang Asli di Sg. Jentong, Trolak.

KUALA LUMPUR – Peneraju dunia dalam pencahayaan, Signify atau dahulu dikenali sebagai Philips Lighting melaksanakan kerja-kerja naik taraf kemudahan infrastruktur di Kampung Orang Asli di Sungai Jentong, Trolak, Perak baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Signify Malaysia, Sukanto Aich berkata, inisiatif menaik taraf infrastruktur dengan penyediaan kemudahan elektrik kepada masyarakat Orang Asli itu sebahagian daripada projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikatnya.

Menurutnya, projek CSR tersebut juga selaras dengan kempen serta misi Signify iaitu Brighter Lives, Better World.

Ia menggalakkan penggunaan lampu LED dan solar dalam pembinaan infrastruktur dan bandar sebagai sebahagian daripada pembangunan mampan.

“Signify mula melawat kampung dengan populasi seramai 380 penduduk itu pada awal September untuk meninjau kawasan dan mendengar luahan penduduk mengenai kebimbangan keselamatan pada waktu malam disebabkan oleh akses terhad kepada elektrik dan pencahayaan.

“Bagi membantu menangani masalah tersebut, kami memasang penyelesaian pencahayaan solar di kawasan-kawasan utama seperti jalan utama dan ruang aktiviti komuniti tersebut.

“Selain itu, kami juga memasang mentol lampu LED untuk ruang dalaman dan luaran setiap rumah sebagai pengganti kepada lampu tradisional. Lampu LED yang dipasang lebih tahan lama dengan jangka hayat yang panjang dan kuasa lumen yang lebih tinggi, serta penggunaan tenaga yang lebih rendah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, jumlah keseluruhan sumbangan Signify termasuk pemasangan penyelesaian pencahayaan solar dan mentol lampu LED adalah sebanyak RM 85,400.

Tambah Sukanto Aich, selain pemasangan penyelesaian pencahayaan, pihaknya juga mengagihkan sumbangan barang keperluan asas serta menyediakan makan tengah hari untuk penduduk kampung tersebut.

“Selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Signify komited untuk membantu Malaysia mempercepatkan peralihan penggunaan tenaga yang lebih bersih dan mampan.

“Kami berharap pencahayaan solar kami dapat memberi manfaat besar kepada komuniti orang asli dan inisiatif CSR seperti ini dapat diteruskan supaya kami dapat menerangi lebih banyak kehidupan golongan memerlukan demi masa depan yang lebih cerah,” ujarnya. – MalaysiaGazette