Siti ditemui pada Majlis Ukhuwah dan apresiasi Yayasan Nurjiawa serta pelancaran kempen tabung sedekah Subuh di ibu negara, semalam.

KUALA LUMPUR – Penghibur nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi Yayasan Nurjiwa melancarkan kempen tabung sedekah Subuh dalam usaha membantu lebih ramai mereka yang kurang berkemampuan.

Wanita berusia 44 tahun itu memberitahu, bagi fasa pertama sebanyak 1,000 tabung telah diedarkan kepada orang ramai termasuk di surau dan masjid.

Beliau berkata, sumbangan tidak fokus hanya kepada tabung Yayasan Nurjiwa namun orang ramai boleh menyalurkan kepada mana-mana pihak yang mereka inginkan sekiranya tabung itu sudah penuh.

“Alhamdulillah, pelancaran kempen jihad dan antaranya kempen tabung sedekah subuh Yayasan Nurjiwa telah berlangsung dan sebanyak 1,000 tabung fasa pertama telah diedarkan.

“Tabung sedekah Subuh ini adalah antara misi Yayasan Nurjiwa untuk memberikan galakan untuk kita semua bersedekah dan juga menyumbang kembali kepada mereka yang memerlukan.

Menerusi tabung ini yang telah kami edarkan kepada para tetamu yang hadir serta pihak masjid, surau dan individu, sumbangan tidak berfokus hanya kepada tabung Yayasan Nurjiwa namun anda boleh menyalurkan kepada mana-mana pihak yang diinginkan kepada masjid, asnaf, anak yatim dan sebagainya,” katanya.

Siti ditemui pada Majlis Ukhuwah dan apresiasi Yayasan Nurjiawa serta pelancaran kempen tabung sedekah Subuh di ibu negara semalam.

Pada masa sama, Siti berkata, Yayasan Nurjiwa juga dalam perancangan membina Pusat Sehenti Komuniti melibatkan kemudahan seperti masjid, sekolah agama elit dan kompleks Komuniti di lokasi yang akan dikenal pasti.

“Kami akan terus berusaha untuk menjadi wadah bagi pelbagai aktiviti kemasyarakatan untuk golongan  yang memerlukan dan Yayasan Nurjiwa adalah bukti kebaikan dan inspirasi akan memberi sinar yang tidak pernah padam untuk manfaat semua,” katanya.

Sementara itu, sumbangan tabung sedekah Subuh boleh juga dikembalikan ke akaun Yayasan Nurjiwa, Maybank 514486106455.

Tabung ini akan ditambah lagi jumlah edarannya dan anda boleh berhubung dengan cara emel ke Yayasan Nurjiwa
[email protected] untuk mendapatkan tabung ini. – MalaysiaGazette