PETALING JAYA – Pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat telah meninggalkan Blok R, Apartmen Idaman di Damansara Damai di sini selepas melakukan pemeriksaan rumah ke rumah kira-kira empat jam hari ini.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati pasukan forensik menaiki bangunan Blok R pukul 11.30 pagi tadi dan berakhir kira-kira pukul 3.30 petang.
Operasi pemeriksaan dan saringan beramai ramai bagi mendapatkan DNA penduduk masih diteruskan pada hari kelapan bagi mengesan pentunjuk dalam mengesan suspek membunuh kanak- kanak, Zayn Rayyan Matiin baru-baru ini.
Terdahulu Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat ini polis telah mengumpul 238 keterangan saksi bagi membantu siasatan.
Semalam pasukan yang sama mengumpul bahan bukti termasuk sehelai stoking dari kolam takungan air yang disedut dengan bantuan bomba di anak sungai lokasi penemuan mayat Zayn yang terletak 200 meter dari perumahan itu.- MalaysiaGazette