PETALING JAYA – Pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) meneruskan siasatan dalam usaha mengesan suspek kes bunuh Zayn Rayyan Matiin di sekitar anak sungai Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai hari ini.
Siasatan diteruskan dengan melakukan sesi lakonan semula berdasarkan keterangan yang diambil daripada dua saksi kanak-kanak yang berusia enam dan sembilan tahun.
Mengikut pemantauan MalaysiaGazette, sepasukan anggota Forensik Ibu Pejabat Kontinjen Selangor dilihat bersama saksi kanak-kanak lelaki itu sekitar pukul 11 pagi pergi ke Blok R bersama ibu mereka bagi membantu lakonan semula.
Ia dilakuan termasuk melibatkan kawasan sekitar anak sungai yang terletak kira-kira 200 meter daripada lokasi di mana mangsa berusia enam tahun itu ditemui baru-baru ini.
Dalam lakonan semula tersebut, pasukan forensik turut dibantu oleh jurukamera PDRM yang turut dilihat membuat rakaman.
Dalam pada itu, dianggarkan lebih 15 petugas forensik hadir ke perumahan itu hari ini bagi meneruskan siasatan yang masuk hari kesembilan melibatkan pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Bukit Aman.
Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan pihaknya mendapat petunjuk baharu dalam siasatan kes berkenaan di mana telah mengesan dua saksi kanak-kanak yang mendakwa melihat Zayn Rayyan di tingkat dua dan tiga di Blok R, Apartment Idaman pada petang 5 Disember lalu sebelum mangsa dilaporkan hilang.
Menurut beliau, petunjuk baharu itu berdasarkan operasi mencari bukti secara besar-besaran membabitkan penduduk Apartment Idaman di sini sejak 8 Disember lalu. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Saringan DNA kesan dua saksi kanak-kanak lihat Zyan sebelum hilang