KUALA LUMPUR – Sekolah Pendidikan Khas Taarana menganjurkan sambutan Krismas bagi meraikan prestasi para pelajar dalam menekankan kepentingan kerjasama antara ibu bapa dan guru.
Pengetua Taarana, Dr. Sunitha Sivakumaran berkata, kerjasama itu bagi memastikan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari di sekolah turut dipraktikkan di rumah di samping menyediakan pengalaman pembelajaran lebih berintegrasi.
“Kami gembira dengan kerjasama yang diberikan ibu bapa sepanjang proses pembelajaran dan perayaan hari istimewa ini jelas mencerminkan betapa kukuhnya komuniti yang telah bina bersama-sama di Taarana.
“Sambutan tersebut turut diadakan bersama Hari Keluarga yang dimeriahkan dengan pelbagai permainan yang direka khusus agar para pelajar serta keluarga bekerjasama dalam menyelesaikan cabaran, teka-teki dan aktiviti interaktif yang lain,” katanya dalam satu kenyataan.
Taarana yang bermaksud kebangkitan dalam bahasa Sanskrit ditubuhkan pada tahun 2011 oleh Yayasan RYTHM iaitu sebuah inisiatif impak sosial oleh Kumpulan Syarikat QI.
Sekolah ini menangani keperluan mendesak untuk sumber dan sokongan yang diperlukan oleh kanak-kanak kurang upaya serta keluarga mereka.
Sementara itu, Ketua Yayasan RYTHM Santhi Periasamy berkata, majlis sambutan tersebut sebagai tanda penghargaan kepada seluruh keluarga besar di sekolah itu.
“Sambutan yang diadakan mencerminkan nilai-nilai murni yang mendasari komitmen Yayasan RYTHM untuk memupuk transformasi sosial melalui pendidikan.
“Acara ini bukan sahaja mencipta detik gembira untuk para pelajar dan ahli keluarga mereka tetapi turut memperlihatkan usaha dalam menyediakan pengalaman pendidikan yang holistik dan memenuhi keperluan pelajar.
“Misi penting Yayasan RYTHM adalah meningkatkan kesedaran tentang betapa pentingnya pendidikan keperluan khas di samping memperjuangkan inklusiviti sosial dalam usaha mengurangkan stigma terhadap kanak-kanak berkeperluan khas,” ujarnya. – MalaysiaGazette