Rahmad Mariman

MELAKA – Melaka tidak akan menangguhkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang jatuh pada hari cuti umum negeri pada 20 Februari tahun depan.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, semua 335 guru petugas memantau 4,528 calon SPM 2023 akan berjalan seperti biasa.

Menurutnya, empat kertas peperiksaan bertulis pada 20 Februari adalah Manahij al-Ulum al-‘Islamiah, Pendidikan Seni Visual- Ujian Melukis Kertas 2, Pendidikan Muzik Kertas 1 dan Reka Cipta Kertas 1.

“Tiada penangguhan peperiksaan bagi empat kertas ini pada 20 Februari tahun depan melibatkan 4,528 pelajar berdaftar di 84 pusat peperiksaan walaupun ia jatuh pada hari cuti umum negeri yang baru diwartakan.

“Jadi kita harap, pelajar, ibu bapa dan petugas cakna akan ketetapan ini dan memastikan kehadiran pada hari peperiksaan itu nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Taklimat Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) Bersama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Kompleks Japerun Ayer Molek di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, SPM 2023 menyaksikan 12,900 orang calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan di 103 pusat peperiksaan melibatkan 1, 255 orang petugas.

Kerajaan negeri sebelum ini mewartakan 20 Februari sebagai cuti umum bagi Hari Pengisytiharan Kemerdekaan negara bersempena dengan sejarah awal Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu sewaktu diumumkan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Padang Banda Hilir pada 20 Februari 1956. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast