BANGI – Pembangkang seharusnya mencari jalan dan idea bernas untuk mengurangkan beban rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jelasnya lagi, pembangkang harus memainkan peranan bersama-sama untuk meningkatkan ekonomi dan bukan hanya mencari gaduh dengan kerajaan.
“Carilah modal untuk bantu bagaimana mahu angkat ekonomi, nak kurangkan beban rakyat. Jangan duduk ajak (kerajaan) bergaduh sahaja… tak letih ke?” soalnya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Kauthar, di Bandar Baru Bangi hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, pembangkang harus menghentikan perbuatan melaga-lagakan rakyat berbilang kaum semata-mata untuk memenuhi kepentingan politik mereka.
“Seperti juga isu yang diuar-uarkan pembangkang mengenai persempadanan semula. Perkara itu tidak berbangkit pun, hanya untuk melaga-lagakan, nak bagi orang lagi marah, orang Cina lagi marah.
“Ia tidak berbangkit dan dia (pembangkang) tidak faham perlembagaan. Perlembagaan membolehkan kita mengkaji semula persempadanan itu pada akhir 2026 sahaja,” katanya lagi.
Bulan lalu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, DAP akan mengaut kuasa yang besar tidak lama lagi apabila persempadanan semula kawasan pilihan raya dilaksanakan.
Malah Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, sekiranya keadaan itu berlaku maka ini akan melemahkan kaum Melayu sehingga di satu keadaan kaum berkenaan akan terus hilang kuasa di negara ini. – MalaysiaGazette